Friday, November 22, 2024
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makanan tradisi kaum Iban istimewa

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 18 Sept – Hidangan makanan ala kampung dan tradisi menjadi tarikan serombongan pelawat dari Syarikat Sakam Adventure yang diketuai oleh Awang Bohari bin Abdullah semasa kunjungan mereka ke Rumah Panjang Teraja, di sini.

    Menurut salah seorang pengunjung yang merupakan warga Jerman bekerja sementara di sini, Michael Krebs, keistimewaan kaum etnik berkenaan dari segi pakaian dan tarian yang dipersembahkan semasa lawatan tersebut menggambarkan keunikan kebudayaan bangsa Iban.

    Selain itu, keunikan bangsa itu juga dapat dilihat dari segi hidangan makanan yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan seperti umbut Tuhau dan umbut Luba yang sememangnya tidak pernah dirasainya sebelum ini, selain dapat menikmati makanan lazat yang dipercayai merupakan salah satu daripada makanan sihat yang diamalkan oleh kalangan penduduk di rumah panjang berkenaan.

    “Saya melihat, biarpun dalam usia yang sudah tua, tetapi penghuni di rumah panjang berkenaan kelihatan masih kuat dan cergas. Saya yakin mereka telah mengamalkan gaya hidup sihat dengan memakan makanan hasil daripada tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman yang segar, berbeza dengan pemakanan penduduk di kota besar dan bandar,” jelasnya lagi ketika memberitahu media.

    Rumah Panjang Teraja terus mendapat kunjungan pelancong luar dan dalam negara.
    Hidangan tradisi masyarakat Iban, ayam masak dalam buluh, sayur-sayur umbut turut menarik minat para pelancong.

    Semasa lawatan, para pengunjung lainnya juga tidak melepaskan peluang untuk meninjau rumah panjang itu, di samping dapat menikmati pemandangan yang indah dan menarik di kawasan Wasai Teraja yang semakin terkenal dalam kalangan penduduk tempatan termasuk para pelancong dalam dan luar negara.

    Sementara itu, Setiausaha ahli Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja, Gaung anak Jamit, memberitahu, setiap pengunjung yang datang ke rumah panjang itu akan sentiasa diberi layanan yang istimewa, selain akan dihidangkan dengan makanan tradisi demi mengekalkan kebudayaan masyarakat Iban terutama sekali hidangan masakan ayam dalam buluh dan sayuran umbut yang dihasilkan daripada sumber tanaman mereka di sana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda