Wednesday, May 22, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Makanan tradisional Puak Murut tonjol keunikan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    TEMBURONG, 27 JULAI – Orang ramai berpeluang mengenali tradisi dan budaya Puak Murut yang terlibat dalam sama-sama menjayakan majlis keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong, pagi tadi.

    Elemen yang diketengahkan semasa pameran untuk dipersembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis itu ialah masakan tradisional Puak Murut.

    Semasa pameran itu, ramai pengunjung berpeluang untuk merasa beraneka jenis makanan yang hanya terdapat di Daerah Temburong dan jarang dilihat.

    Masyarakat Murut yang tinggal di Daerah Temburong merupakan etnik yang unik kerana sangat kaya dengan pelbagai khazanah seni termasuk keindahan dan kreativiti dalam memasak bermacam-macam jenis makanan.

    Dayang Kaniah Murang dari Kampung Senukoh mengongsikan beberapa masakan tradisional Murut seperti kelupis baung, sup terong asam ikan luang, nuba tenga, tutung suman, daun libit, tenum pais lauk dan banyak lagi.

    Antara makanan tradisional Puak Murut yang dipamerkan semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong, kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Dayang Kaniah Murang menjelaskan tentang masakan Puak Murut yang dipamerkan semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Awang Padan menjelaskan tentang pameran pakaian orang Murut terdahulu. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Yusrin Junaidi
    ATAS & BAWAH: Antara masakan Puak Murut yang dipamerkan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Beliau menjelaskan, setiap masakan mempunyai ceritanya tersendiri yang dimasak oleh beberapa orang daripada puak berkenaan.

    Kepelbagaian makanan ini disukai oleh lapisan masyarakat kerana rasa, teksturnya dan aromanya sesuai dengan cita rasa Brunei.

    Beliau berkata, makanan tradisional Puak Murut ini perlu diketengahkan agar generasi akan datang mengetahui kewujudan makanan yang bermacam-macam berkenaan.

    Media Permata juga berkesempatan menemu bual Ketua Bahagian Kebudayaan Persatuan Masyarakat Lun Bawang Murut, Awang Padan bin Lasong yang menjelaskan beberapa pameran yang dipamerkan semasa majlis ramah mesra berkenaan.

    Awang Padan berkata, antara yang dipamerkan ialah pakaian-pakaian orang Murut terdahulu, seperti pelepat, iaitu sebilah parang khas untuk memenggal kepala musuh, cawat, dastar murut, kelupit satu bungkusan khas untuk menyimpan kepala musuh, dan kuyu talun, iaitu baju yang diperbuat daripada bahan-bahan alami di hutan.

    Beliau berkata, dengan adanya pameran seperti itu, walaupun diadakan setiap tahun, ia bertujuan untuk mengekalkan lagi tradisi Murut untuk generasi-generasi yang akan datang agar tradisi ini tidak akan pupus di mata rakyat Brunei dan dunia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Warga Nepal pecah rekod capai puncak Everest 30 kali

    KATHMANDU, 22 MEI - Pendaki Nepal, Kami Rita Sherpa memecahkan rekodnya sendiri pada hari ini sebagai orang yang paling banyak mendaki Gunung Everest, mencapai...