NEW DELHI – Pengambilan makanan ultra proses secara tetap boleh meningkatkan risiko 32 penyakit termasuk kanser, masalah jantung dan paru-paru, gangguan kesihatan mental dan juga kematian awal, menurut satu kajian besar.
Makanan yang diproses ultra, termasuk makanan bakar dan snek yang dibungkus, minuman bergas, bijirin manis dan produk sedia untuk dimakan atau dipanaskan, menjalani pelbagai proses perindustrian dan selalunya mengandungi warna, pengemulsi, perisa dan bahan tambahan lain.
Produk-produk berkenaan juga cenderung mengandungi gula tambahan, lemak
dan/atau garam yang tinggi, tetapi rendah vitamin dan serat, lapor The Statesman.
Pasukan penyelidik antarabangsa dari Australia, Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Ireland menemui bukti yang meyakinkan bahawa pengambilan makanan ultra-diproses yang lebih tinggi dikaitkan dengan kira-kira 50 peratus peningkatan risiko kematian berkaitan penyakit kardiovaskular, 48-53 peratus lebih tinggi risiko keresahan
dan gangguan mental biasa, dan 12 peratus lebih tinggi risiko diabetes jenis 2.
Diterbitkan oleh The BMJ, penemuan itu berdasarkan kajian semula semakan-semakan (ringkasan bukti peringkat tinggi) terhadap 45 meta-analisis terkumpul yang berbeza daripada 14 artikel ulasan yang melibatkan hampir 10 juta peserta.

Tiada satu pun dibiayai oleh syarikat yang terlibat dalam pengeluaran makanan ultra proses.
Pasukan berkenaan juga menemui bukti yang menunjukkan pengambilan makanan ultra proses yang lebih tinggi dikaitkan dengan 21 peratus risiko kematian lebih tinggi daripada mana-mana punca, 40-66 peratus peningkatan risiko kematian berkaitan penyakit jantung, obesiti, diabetes jenis 2 dan masalah tidur, dan 22 peratus peningkatan risiko
kemurungan.
“Penemuan-penemuan ini menyokong penyelidikan mekanistik segera dan tindakan kesihatan awam yang bertujuan untuk menyasarkan dan meminimumkan penggunaan makanan ultra-diproses untuk kesihatan populasi yang lebih baik,” kata Melissa M Lane, rakan penyelidik bersekutu di Deakin University, Australia.
Selain itu, makanan ultra proses merosakkan kesihatan dan memendekkan jangka hayat, kata penyelidik dalam editorial, menyeru dasar awam dan tindakan diambil terhadap makanan ultra-diproses.
“Ini termasuk label pek hadapan, menyekat pengiklanan dan melarang jualan di dalam atau berhampiran sekolah dan hospital, serta langkah fiskal dan lain-lain yang menjadikan makanan yang tidak diproses atau diproses secara minimum dan makanan yang baru disediakan sebagai mudah diakses dan tersedia serta lebih murah daripada makanan ultra proses”. – Agensi








