Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makhluk berbulu menolak pintu

    Oleh Dayang Anni Bujang –

    Malam itu ayah ada tetamu dari negara jiran. Bukan orang lain, dia adalah sepupu ayah juga. Maklum kerana lama tidak berjumpa.Ayah asyik berbual-bual tapi pada masa itu aku masih kecil lagi. Sekali-sekala terdengar olehku deraian ketawa ayah dan sepupunya. Malam itu sepupu ayah bermalam di rumah kami.

    Di dapur ibu sibuk memasak untuk hidangan makan malam. Aku dan abang-abang juga kakakku mengulang kaji pelajaran. Waktu itu rumah yang ku diami belumlah siap sepenuhnya. Bahagian dapur belum dibuat tangga. Cuma pintunya saja yang telah siap.

    Seperti biasa ibu menghidangkan makanan sebelum jam 8 malam. Malam itu ayah, sepupu ayah, ibu dan kami adik-beradik mengambil tempat masing-masing yang telah ibu arahkan. Malam itu kami membuat bulatan menghadap makanan. Seperti biasa ibu duduk dekat pintu dapur.

    Belum sempat aku menyuap nasi ke mulut, tiba-tiba pintu dekat ibu duduk seperti diketuk dengan benda yang berat. Kami semua terkejut. Semua pandangan kami tertumpu pada pintu itu. Ayah mengeleng kepala.

    Kami teruskan makan. Selang beberapa minit pintu yang terkunci kukuh itu tiba-tiba tercabut tolnya. Pintu itu terbuka sedikit. Aneh tapi benar. Kami yang hampir sudah siap makan itu tersentak sekali lagi. Ayah mengarahkan kami dan ibu ke tengah sedikit. Ayah terus berdiri untuk merapatkan kembali daun pintu itu. 

    Gambar Freepik

    Belum pun sempat ayah merapatkan kembali daun pintu, ia terkoyak kembali. Alangkah terperanjat ayah melihat keadaan sedemikian. Ayah tak putus asa dia merapatkan lagi daun pintu itu. Ayah berasa ada sesuatu yang aneh di sebalik pintu itu.Ayah terus menolak, kali ini ayah ditemani oleh sepupunya dan dua abangku.

    Mereka menolak pintu itu untuk merapatkan kembali. Namun mereka tak berdaya merapatkan daun pintu itu kembali. Ayah, sepupunya dan abang-abangku sama-sama bergabung tenaga menolak untuk merapatkan kembali daun pintu itu. Anehnya kekuatan mereka tidak terlawan dengan kuasa aneh itu.

    Kami merasa benar-benar takut menyaksikan kejadian itu.Pintu terus ditolak. Mereka hampir tewas. Hampir setengah jam mereka berempat masih tolak-menolak dengan pintu itu. Pintu itu hampir berjaya menumpas keempat-empat lawannya.

    Pintu hampir terbuka keseluruhannya. Setelah hampir terbuka keseluruhannya, di situ kami sekeluarga terlihat makhluk berbulu, tangannya besar, bermata satu merah seperti buah saga. Ayah mengambil perang lalu menghunus untuk menetak makhluk itu.

    Makhluk itu terus ghaib serta-merta. Ayah membuka luas pintu itu untuk memastikan apakah makhluk itu masih berada di situ mahupun di bawah dapur itu.

    Namun tak ada kesan pun yang ditinggalkannya. Mungkinlah makhluk itu sekadar ingin menakut-nakutkan kami sekeluarga. Malam itu ayah dan sepupunya merayau-rayau di sekelilig rumah kami sementara ibu mengemas pinggan mangkuk yang masih berselerak tadi.

    Malam kejadian itu ayah, sepupunya, ibu, abang-abangku tidak tidur, mereka berjaga sampai ke pagi, takut makhluk itu kembali lagi. Namun makhluk itu tak kunjung kembali hingga pagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda