Friday, July 25, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makhluk gergasi dibina dari sampah

    WOODSIDE, CALIFORNIA, 23 JULAI – Di tengah-tengah hutan di seluruh dunia, sekumpulan makhluk kayu gergasi ingin mengajar manusia cara hidup yang lebih baik tanpa memusnahkan alam sekitar.

    Seniman kitar semula dari Denmark, Thomas Dambo, bersama pasukannya, telah menghasilkan 170 arca makhluk daripada bahan buangan seperti palet kayu terpakai, perabot lama dan tong wain.

    Selepas 12 tahun memulakan projek ‘Trail of a Thousand Trolls’, arca-arca ciptaannya kini boleh ditemui di lebih 20 negara dan 21 negeri di Amerika Syarikat (AS). Setiap tahun, Dambo dan pasukannya membina sekitar 25 makhluk baharu, dengan ketinggian sehingga 12 meter.

    “Saya percaya kita boleh cipta apa saja daripada apa saja,” ujar Dambo dari ladangnya di luar Copenhagen. “Kami semakin lemas dalam timbunan sampah. Tapi kami juga tahu, sampah seseorang boleh jadi barangan bernilai untuk orang lain.”

    Sebuah pameran khas enam arca raksasa bertajuk ‘Trolls Save the Humans’ kini dipamerkan di Filoli, sebuah ladang bersejarah seluas 650 ekar yang merangkumi hutan dan taman di Woodside, California, kira-kira 50 kilometer di selatan San Francisco.

    Setiap makhluk ciptaan Dambo memiliki personaliti dan kisahnya yang tersendiri. Di Filoli, Ibbi Pip membina rumah burung, Rosa Sunfinger menanam bunga, manakala Kamma Can menghasilkan barang kemas daripada sampah manusia.

    Makhluk ciptaan Dambo tidak gemarkan manusia kerana mereka membazirkan sumber alam dan mencemarkan bumi. Sebagai makhluk mitos yang hidup beribu tahun, mereka telah menyaksikan kemusnahan tamadun akibat kerakusan manusia.

    Namun begitu, enam makhluk muda di Filoli mempunyai pandangan lebih optimis terhadap sifat manusia.

    Ia percaya manusia boleh berubah dan mereka mahu menjadi guru kepada manusia tentang bagaimana melindungi alam sekitar. – AP

    Arca makhluk gergasi yang dicipta oleh Denmark Thomas Dambo dan pasukannya dipamerkan di ladang bersejarah Filoli pada 5 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda