Pernah terdetik dalam hati untuk menamatkan riwayat diri gara-gara tidak tahan dengan kecaman dilemparkan dalam laman sosial.
Perasaan tertekan, kecewa dan malu bercampur-baur membuatkan penyanyi Shiha Zikir hampir hilang pedoman hingga nekad mahu bertindak di luar kewarasan fikiran.
Namun, keimanan yang masih menebal dalam hati dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus menghalangnya melakukan perkara bukan-bukan.
Sejak itu, Shiha berkata, dia semakin matang dalam berdepan situasi yang boleh menjejaskan emosi.
Shiha berterima kasih kepada manusia yang pernah menzaliminya dengan ungkapan berbisa kerana kata-kata itulah yang membuatkannya terus kuat dan mampu berdiri teguh seperti yang dilihat hari ini.

“Saya pernah cuba mencederakan diri dan terfikir tiada gunanya untuk saya teruskan kehidupan. Ini kerana saya tidak tahan dengan kecaman.
“Apa dosa saya kepada mereka hingga tergamak hina saya? Kecaman warganet masih boleh diterima, tetapi apabila kata-kata itu datang daripada rakan industri sudah tentu melukakan hati.
“Mereka memandang rendah dan minta saya berdiri depan cermin sambil bertanya apakah saya layak berada dalam industri bersama mereka.
“Saya menangis apabila teringatkan kata-kata menghiris hati ini. Namun, bila merenung semula, saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang menghina saya.” – Agensi

