Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi akan bermula pada Rabu, 27 Syaaban 1446 bersamaan dengan 26 Februari dengan keberangkatan dan pengurniaan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi berlangsung, Persidangan MMN akan bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 MMN yang telah bersidang pada tahun 2024. Persidangan tersebut akan ditangguhkan bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 MMN dan sesi Persidangan MMN akan disambung bersidang pada 27 Februari bermula pada 9:30 pagi.
Persidangan MMN tahun ini akan membincangkan perkara yang berkaitan agenda pembangunan negara melalui pertanyaan dan perbahasan serta Rang Undang-undang (2025) Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2025/2026, melalui tiga peringkat sebelum ianya dapat diluluskan sepenuhnya dan diwartakan untuk diguna pakai bermula 1 April.
Persidangan MMN akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.
MMN terus menjadi forum perbincangan tertinggi negara, antara ahli rasmi kerana jawatan bersama ahli yang dilantik terdiri daripada orang-orang yang bergelar, orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan dan wakil-wakil dari daerah-daerah. Dalam suasana perbincangan yang harmoni, MMN menyatukan kepentingan rakyat dan kerajaan dengan membincangkan dasar-dasar penting bagi mencapai kemajuan ekonomi yang mampan, kesejahteraan rakyat melalui dasar sosial yang inklusif dan keamanan negara yang berterusan di bawah rahmat Allah SWT.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/p2-WEB-Lead-Gambar-Brunei-Press_12022025.jpg)
Sesi Persidangan MMN ini dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk melihat dan mendengarkan perbahasan dan perbincangan dialu-alukan untuk menghadiri dan menyaksikan sesi perbahasan secara langsung di Dewan Persidangan, sehari selepas Istiadat Pembukaan Rasmi. Perkhidmatan peralihan bahasa dalam bahasa Inggeris juga tersedia dengan permohonan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum kehadiran.
Di samping itu, institusi pendidikan yang berhasrat membawa penuntut-penuntut sebagai pendedahan mengenai MMN termasuk proses perundangan negara dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN boleh membuat permohonan lawatan melalui surat rasmi kepada Urusetia MMN-21 sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh lawatan.
Rakaman persidangan harian boleh diikuti melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada pukul 9 malam bagi rakaman sesi pagi dan diikuti lagi pada pukul 11 malam bagi rakaman sesi petang. Dokumen rasmi persidangan seperti penyata rasmi, minit mesyuarat dan perintah harian bolehlah diakses melalui laman sesawang www.majlis-mesyuarat.gov.bn atau www.councils.gov.bn.
Maklumat terkini dan perkembangan persidangan juga akan diterbitkan dalam Instagram rasmi @legcobrunei.
Dalam pada itu, para pelawat dan orang ramai yang berminat menghadiri sesi persidangan adalah dipohonkan untuk mematuhi beberapa peraturan dan garis pandu persidangan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara memasuki Dewan Persidangan bagi memastikan keselesaan serta kelancaran sepanjang sesi berlangsung.
Ini termasuk kod pakaian rasmi iaitu pakaian kemas dan sopan seperti yang dinyatakan dalam peraturan, telefon bimbit perlu diaktifkan kepada mod senyap dan tidak dibenarkan mengambil gambar atau video tanpa kebenaran.
Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut bolehlah dikemukakan kepada Urusetia Persidangan MMN ke-21 di alamat Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat atau terus menghubungi di talian telefon 2380501, nombor faks 2385500 dan emel di majlis.mesyuarat@jmm.gov.bn.