Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Jabatan Kerja Raya (JKR) ingin memaklumkan bahawa kerja -kerja pemasangan valve di stesen pam air mentah Badas, Seria akan dimulakan esok, 13 Mei pada pukul 8.30 pagi sehingga kerja-kerja selesai.
Kawasan yang terlibat seperti Mukim Liang, Mukim Bukit Sawat, Mukim Labi, Mukim Sukang, Mukim Melilas dan kawasan sekitarnya mungkin akan mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah.
Selain itu, JKR turut memaklumkan mengenai kerja penyucian tangki air Sibulu 2 akan dilakukan pada 14 Mei dari pukul 9 pagi hingga kerja selesai. Kawasan yang terlibat Mukim Bokok dan kawasan sekitarnya juga berkemungkinan mengalami tekanan air rendah.
Sehubungan itu, pembekalan air tanker boleh dimohon dengan menghubungi Talian Darussalam 123.
