Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Sebagai langkah tambahan sekuriti dan keselamatan, kawasan dalam lingkungan 3 batu nautika iaitu 5.56 kilometer, empat lokasi telah diisytiharkan sebagai kawasan ruang udara terhad pada 17, 22, 23 dan 26 Februari 2025.
Jabatan Penerbangan Awam dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini telah menegaskan bahawa lokasi di Padang Kawad Program Khidmat Bakti Negara, Temburong adalah kawasan ruang udara terhad berkuat kuasa hari ini, 17 Februari.
Pada 22 Februarui, lokasi Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pula menjadi kawasan ruang udara terhad.
Manakala dua lokasi lagi, Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada 23 Februari 2025 dan seterusnya pada 26 Februari 2025 di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.
Dengan makluman pengisytiharan ini, pesawat-pesawat termasuk dron dan pesawat udara kawalan jauh adalah tidak dibenarkan beroperasi di ruang udara tersebut kecuali dengan keizinan.
Kegagalan untuk mematuhi peraturan ini dianggap sebagai pelanggaran undang-undang dan peraturan Negara Brunei Darussalam, di bawah Seksyen 51 Perintah Penerbangan Awam, 2006.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh berhubung terus dengan Ketua Bahagian Regulatori, Jabatan Penerbangan Awam, di talian 233 0142 sambungan 1455 atau e-mel: unmanned.aircraft@dca.gov.bn.
Jabatan Penerbangan Awam mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di atas kerjasama dan mematuhi pengisytiharan ini.
