Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, memaklumkan mengenai dengan pengemaskinian dan pelaksanaan dasar baru perlindungan insurans perubatan bagi Penduduk-Penduduk Tetap dan pemegang Pas-Pas Imigresen.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan setiap pemegang Pas Imigresen dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam yang berwarganegara asing di bawah Kategori Warganegara Asing Yang Menyumbang Kepada Perekonomian, Pembangunan dan Kemajuan Negara dan Kategori Warganegara Asing Golongan Profesional adalah dimestikan untuk mendapatkan perlindungan insurans perubatan dengan mengikut kadar perlindungan (coverage) dan tempoh masa perlindungan yang telah ditetapkan.
Pengemaskinian itu bertujuan untuk memastikan semua pemegang pas imigresen, para majikan dan penduduk tetap warganegara asing dalam kategori yang dimaksudkan mempunyai perlindungan insuran yang mencukupi apabila memerlukan rawatan perubatan semasa tinggal atau bekerja di Negara Brunei Darussalam.
Pelaksanaan demikian akan dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa pertama akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2025 yang akan melibatkan jenis Pas-Pas Imigresen dan kategori taraf Penduduk Tetap Warganegara Asing iaitu pemegang pas kerja kategori perkhidmatan domestik iaitu sepanjang tempoh sah pas pekerja imigran dengan jumlah perlindungan minima sebanyak $100,000.00, pemegang pas lawatan yang masuk ke Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan visa lawatan iaitu sepanjang tempoh pas lawatan dengan jumlah perlindungan minima sebanyak $10,000.00, pemegang pas lawatan profesional dan pas lawatan berniaga iaitu sepanjang tempoh pas lawatan dengan jumlah perlindungan minima sebanyak $10,000.00 bagi tempoh lawatan di bawah 90 hari dan perlindungan minima sebanyak $100,000.00 bagi tempoh lawatan melebihi 90 hari serta penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berwarganegara asing di bawah kategori warganegara asing yang menyumbang kepada perekonomian, pembangunan dan kemajuan negara dan juga di bawah kategori warganegara asing golongan profesional iaitu sepanjang tempoh memegang taraf penduduk tetap, mengikut pakej yang disediakan syarikat insurans dengan perlindungan minima sebanyak $100,000.00.

Setelah itu, fasa kedua akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2026 yang melibatkan jenis pas-pas imigran iaitu pemegang pas kerja kategori syarikat (sektor swasta) iaitu sepanjang tempoh sah pas kerja pekerja imigran dengan jumlah perlindungan minima sebanyak $100,000.00, pemegang pas tanggungan (isteri dan anak yang tidak bersekolah) iaitu sepanjang tempoh pas tanggungan dengan jumlah perlindungan minima sebanyak $10,000.00 serta pemegang pas penuntut berwarganegara asing iaitu sepanjang tempoh pas penuntutnya atau bagi pemegang pas tanggungan yang dibenarkan menuntut di sepanjang tempoh pemegang pas tanggungannya dengan jumlah perlindungan minima sebanyak $5,000.00.

Walau bagaimanapun, bagi pemegang Pas Kerja yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan Asing di Negara Brunei Darussalam dan juga bagi warga asing yang masuk ke Negara Brunei Darussalam bagi tujuan melawat sebagaimana aturan pengecualian visa dengan Negara Brunei Darussalam atau bagi tujuan transit tidak melebihi 72 jam atau 3 hari adalah dikecualikan dari mendapatkan perlindungan insurans perubatan.
Manakala, Insurans pekerja imigran yang dibeli sebelum tarikh berkuatkuasanya pelaksanaan dasar baharu ini, adalah masih sah digunakan selepas tarikh berkuatkuasa pelaksanaan dasar ini sehingga tempoh insurans perlindungan perubatan berkenaan mansuh dan perlindungan insurans perubatan baharu adalah diperlukan dengan kadar perlindungan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh sah pas kerja berkenaan.
Dalam usaha untuk membarigakan mengenai dengan dasar perlindungan insurans yang baharu itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan mengadakan beberapa sesi pembarigaan kepada majikan-majikan termasuk agensi-agensi pekerjaan serta pemegang Lesen Perkhidmatan Domestik pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi melalui saluran iaitu Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja, Bahagian Pendakwaan dan Perundangan, Jabatan Buruh di talian 2380256 sambungan 4210 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel, info.buruh@buruh.gov.bn serta Bahagian Pas Kerja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di talian 2381107/ 2382108/ 2383106/ 2382430 atau melalui e-mel, info@immigration.gov.bn.
