Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Kementerian Pertahanan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, memaklumkan kepada orang ramai bahawa pihak kementerian telah menerima laporan berikutan insiden serangan terhadap konvoi yang membawa Kontinjen MALBATT 850-12 di Sidon, Selatan Lubnan kelmarin.
Salah sebuah bas berkenaan dipercayai terkena serpihan letupan yang mencederakan seorang pegawai dan lima orang lain-lain peringkat. Anggota-anggota hanya mendapat cedera ringan dan dirawat oleh pasukan perubatan Lubnan di lokasi kejadian.
Kementerian Pertahan juga telah menerima pengesahan bahawa konvoi berkenaan selamat tiba di destinasi yang dituju pada pukul 11.10 malam waktu Brunei dan kesemua anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang mengikuti konvoi berkenaan dilaporkan selamat.
Orang ramai juga ditegaskan supaya tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi berhubung dengan insiden tersebut. Penyebaran maklumat-maklumat yang tidak sahih adalah satu kesalahan di bawah Bab 34, Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148- Penyebaran Maklumat Palsu.