Sunday, April 27, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makluman kerja pembaikan hawa dingin Pusat Kesihatan Berakas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Dalam memastikan usaha penambahbaikan yang berterusan, kemudahan yang selesa dan perkhidmatan yang terbaik diberikan di semua pusat kesihatan, Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa Pusat Kesihatan Berakas pada masa ini sedang menjalani kerja-kerja pembaikan Sistem Penghawa Dingin (AHU).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, kerja-kerja pembaikan sistem AHU pusat kesihatan berkenaan dijangkakan akan mengambil masa  selama 3 bulan iaitu sehingga Julai untuk disiapkan sepenuhnya.

    Sepanjang tempoh itu, beberapa langkah sementara telah dilaksanakan bagi mengurangkan ketidakselesaan kepada para pesakit, pengunjung dan kakitangan.

    Sebagai usaha segera, beberapa buah kipas angin dan mesin penyejuk udara atau coolers telah ditempatkan di kawasan-kawasan yang terjejas. Usaha untuk mendapatkan tambahan peralatan penyejukan itu sedang dipergiat bagi memastikan suasana lebih selesa dapat dikekalkan sepanjang tempoh pembaikan berlangsung.

    Di sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan Sistem Penghawa Dingin (AHU) itu dijalankan, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama para pengunjung untuk berhati-hati serta memberi perhatian terhadap sebarang arahan yang dikeluarkan demi keselamatan bersama.

    Kementerian Kesihatan menghargai kesabaran dan sokongan orang ramai sepanjang tempoh pembaikan berkenaan.

    Bagi sebarang maklumat terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau media sosial rasmi Instagram, @mohbrunei atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di Pusat Kesihatan Berakas. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda