Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama memaklumkan pemeriksaan kesihatan (perjumpaan doktor) bagi bakal jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan fardu haji bagi musim haji tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi akan diadakan bermula 18 November.
Pemeriksaan yang diadakan di setiap daerah itu akan bermula di Daerah Tutong pada 18 dan 19 November di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Kemudian diikuti di Daerah Temburong yang akan diadakan di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Bangar, pada 20 November, manakala di Daerah Belait diadakan di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, akan berlangsung selama tiga hari pada 21 hingga 25 November.
Sementara di Daerah Brunei dan Muara pula akan diadakan di Pusat Amal Cerah Sejahtera, Kampung Belimbing, Subok, Mukim Kota Batu (Seberang Taman Riadah Tasik Sarubing) pada 26 November hingga selesai.
Waktu-waktu pemeriksaan di semua daerah akan bermula pukul 8:30 pagi hingga 12 tengah hari dan pada sebelah petang pada pukul 1:30 hingga 4 petang.