Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) memaklumkan bermula 1 Ogos, beberapa kaunter perkhidmatan Bahagian Pas Kerja di Ibu Pejabat, JIPK akan dipindahkan.
Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini, JIPK telah mengongsikan kaunter-kaunter yang terlibat iaitu kaunter-kaunter perkhidmatan permohonan penyambungan pas kerja; pembatalan pas kerja; permohonan visa re-entry dan penyerahan pasport (collection) bagi kategori syarikat yang diuruskan oleh majikan atau wakil majikan atau pemegang kad urusan.
Kaunter-kaunter berkenaan yang pada ketika ini ditempatkan di Tingkat 2, Ibu Pejabat, JIPK akan berpindah ke Aras Bawah di Bangunan Ibu Pejabat, Jabatan Buruh.
Manakala kaunter-kaunter perkhidmatan JIPK yang berada di aras bawah di bangunan ibu pejabat jabatan berkenaan, iaitu perkhidmatan permohonan penyambungan pas kerja, pembatalan pas kerja dan penyerahan pasport (collection) bagi kategori syarikat yang diuruskan oleh agensi-agensi pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Buruh masih lagi dikekalkan dan berjalan seperti biasa.
JIPK turut mengongsikan waktu operasi bagi kesemua kaunter perkhid-matan pas kerja bermula pada jam 8 pagi hingga 11:30 pagi, dan pada sebelah petang bermula dari pukul 1:45 petang hingga 3:45 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu.
Sehubungan itu, orang ramai yang hendak berurusan dengan JIPK dinasihatkan supaya memastikan dokumen-dokumen yang diperlukan adalah lengkap dan teratur untuk disertakan bersama permohonan sebelum menghadapkannya ke jabatan berkenaan.
Borang-borang permohonan boleh dimuat turun dari laman sesawang www.immigration.gov.bn, dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dihubungi melalui emel info@immigration.gov.bn atau hotline Whatsapp teks Bahagian Pas Kerja +6737299551.
