BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai terutama para pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara separuh jalan di Jalan Tasek (kedua-dua hala) iaitu di Jejantas Pejalan Kaki Chung Hwa, Jalan Tasek, hala Bandar dan hala Muara.
JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa penutupan yang mula dilaksanakan pada 19 hingga 24 Disember dari pukul 9 malam hingga 3 pagi itu untuk memberi laluan bagi kerja-kerja membersih, membaiki dan mencat semula tiang jejantas tersebut.
Sehubungan itu, JKR ingin mengingatkan kepada para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan berkenaan, di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan had laju yang dibenarkan demi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.


