Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, memaklumkan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara jalan raya di beberapa lokasi.
Di Daerah Brunei dan Muara, penutupan sementara dan lencongan jalan akan dilaksanakan di Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bermula hari ini sehingga 27 September.
Penutupan dari pukul 10 malam hingga kerja-kerja selesai, tertakluk kepada keadaan cuaca, adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan di Taman Persiaran Damuan.
Separuh jalan di Lampu Isyarat J96 iaitu Lebuhraya Rimba/Jalan Rakyat Jati/Simpang 8 pula akan ditutup sementara bermula 27 September hingga 2 Oktober 2023. JKR menjelaskan, penutupan dari pukul 11 malam hingga 4 pagi itu adalah disebabkan kerja-kerja pembaikan loop sensor.
Sementara itu, penutupan sementara separuh jalan juga akan dilaksanakan di Lebuhraya Tungku-Jerudong selepas pusing keliling iaitu kedua-dua hala disebabkan kerja-kerja pembaikan jalan.
Penutupan akan bermula esok hingga 3 Oktober dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dan ini juga tertakluk kepada keadaan cuaca.
Manakala itu, di Daerah Tutong, separuh jalan di jalan menuju ke Kalbat KM54.8 (Hala Telisai), Lebuh-raya Muara-Tutong ditutup bermula hari ini hingga 2 Oktober.
JKR menyatakan, penutupan dari pukul 8:30 pagi hingga 5 petang itu adalah untuk membolehkan kerja-kerja penurapan aspal menuju ke kalbat itu dilaksanakan.


