Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai terutama pengguna jalan raya mengenai penutupan sebahagian Jalan Lapangan Terbang Lama Berakas berdekatan Simpang 24, bermula kelmarin (28 Januari) sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh JKR, penutupan sementara sebahagian jalan itu adalah untuk memberi laluan kerja-kerja pembaikan paip pembetungan bawah tanah berukuran 150mm diameter sedalam 2m di jalan tersebut.
Sementara itu, jabatan berkenaan turut memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebahagian Jalan Melayan menuju ke rumah panjang Kampung Melayan telah mengalami kerosakan yang disebebkan oleh kejadian tanah susur di sebahagian jalan tersebut.
Sebagai langkah keselamatan pengguna jalan raya, pihak JKR telah menyimpan papan tanda keselamatan dan ‘blinkers’ di sebahagian jalan raya yang terjejas dan pihak JKR akan membuat kerja-kerja pembaikan jalan berkenaan dengan seberapa segera.
Sehubungan itu, JKR menasihatkan kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui jalan berkenaan terutama sekali pada waktu malam dan waktu hujan.
Di samping itu, orang ramai turut dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi papan tanda amaran jalan raya dan mematuhi had laju yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan diri dan menghindari perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Orang ramai boleh menghubungi JKR melalui Talian Darussalam 123, livechat 8333123, Facebook JKR dan emel Pro@pwd.gov.bn untuk pertanyaan lanjut.
