Saturday, February 8, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makluman penutupan jalan

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Nurdiyanah.R

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini ingin memaklumkan orang ramai mengenai penutupan sementara separuh jalan di dua lokasi yang berbeza di kawasan Daerah Brunei dan Muara dan satu penutupan separuh jalan di Daerah Temburong.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, JKR ingin menjelaskan lokasi pertama iaitu kerja-kerja pembaikan sebahagian jalan rosak di Lebuh raya Sultan Hassanal Bolkiah (hala Gadong) yang lebih tepatnya berlokasi selepas Jejambat Lapangan Terbang Antarabangsa sehingga Jejambat Kompleks Bangunan Kerajaan/Jalan Menteri Besar masih giat dijalankan dan akan dilanjutkan sehingga 7 Disember bermula pukul 10:30 malam hingga 6 pagi (tertakluk kepada cuaca).

    Pada masa yang sama JKR turut memaklumkan mengenai pengemaskinian status lanjutan penutupan sementara separuh jalan di lokasi yang kedua iaitu di Pusing Keliling Muara, Lebuh raya Muara-Tutong, yang mana kerja-kerja pembaikan jalan raya rosak di lokasi berkenaan akan dilanjutkan sehingga 9 Disember bermula pukul 8 malam hingga pukul 6 pagi (tertakluk kepada cuaca).

    Manakala itu, lokasi ketiga adalah penutupan sementara separuh jalan di Jalan Batang Duri berdekatan Taman Mini Batang Duri, Daerah Temburong bermula hari ini.

    Penutupan berkenaan adalah disebabkan kerja-kerja penelitian teknikal terhadap jalan yang mengalami kerosakan akan dijalankan.

    Sehubungan itu, jalan tersebut telah pun ditutup demi menjaga keselamatan para pengguna jalan berkenaan sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

    Oleh itu, pihak jabatan menasihatkan para pengguna jalan untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan-kawasan berkenaan dan mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

    Penutupan sementara separuh jalan di Jalan Batang Duri berdekatan Taman Mini Batang Duri, Daerah Temburong. – Gambar serahan JKR
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda