Makluman penutupan sebahagian jalan, lencongan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, memaklumkan kepada orang ramai terutama para pengguna jalan raya bahawa sebahagian jalan di Jalan Jaya Negara, Jalan Sungai Pandan dan Jalan Pandan Lima akan ditutup selama sebulan bermula pada 20 April sehi-ngga 20 Mei pada pukul 7 malam hingga 6 pagi.

Penutupan sementara itu, yang akan dilaksanakan secara berperingkat, adalah untuk memberi laluan bagi kerja-kerja penaiktarafan jalan raya di kawasan berkenaan.

Sementara itu, JKR turut memaklumkan bahawa lencongan sementara sebahagian Jalan Gadong, Kampung Jangsak secara berfasa sudah mula digunakan kelmarin mulai jam 9 pagi.

Lencongan itu bertujuan untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan kalbat overcrossing sepanjang 40m sedalam 3m di jalan tersebut dapat dilaksanakan dan tempoh keseluruhan jalan lencongan sementara tersebut digunakan dijangka akan mengambil masa selama lima bulan. Sehubungan dengan itu, para pengguna jalan raya bolehlah menggunakan laluan jalan alternatif yang telah disediakan. Pihak jabatan ingin menasihatkan para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui jalan-jalan tersebut dan mematuhi papan tanda amaran jalan raya serta had laju yang dibenarkan demi menghindari perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Bagi sebarang aduan atau maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi pihak JKR melalui Talian Darussalam 123.

Sebahagian jalan di Jalan Jaya Negara, Jalan Sungai Pandan dan Jalan Pandan Lima akan ditutup sementara bermula 20 April. – Rajah serahan JKR