Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan orang ramai terutamanya para pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara Jambatan Sungai Rampayoh, Jalan Labi Daerah Belait selama tiga hari bermula pada 3 Disember, pukul 3 petang.
Kenyataan menjelaskan bahawa penutupan sementara jambatan berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih jalan susur ke jambatan berkenaan dapat dilaksanakan.
Sehubungan dengan itu, JKR ingin menasihatkan kepada para pengguna jalan raya tersebut terutamanya penduduk yang terjejas untuk membuat perancangan awal perjalanan.
Selain daripada itu, para pengguna jalan raya juga diingatkan untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Bagi orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, mereka boleh menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya melalui Talian Darussalam 123 atau Livechat Talian Darussalam 123, +673 8333123 ataupun e-mel, pro@pwd.gov.bn.