Oleh Mu’min Karim
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kepada orang ramai terutamanya para pengguna lebuh raya mengenai penutupan sementara separuh jalan di sepanjang Lebuh Raya Tungku-Hala Jerudong.
Penutupan sementara akan bermula hari ini sehingga hari Sabtu, 26 November bermula jam 10 malam hingga 4:30 pagi.
Penutupan sementara separuh jalan adalah bagi membolehkan kerja-kerja pencantasan dahan-dahan pohon dan pemotongan pokok dapat dilaksanakan di kawasan tersebut.
JKR ingin menasihatkan para pengguna lebuh raya supaya sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Bagi sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat Talian Darussalam 123 833 3123 atau melalui e-mel pro@pwd.gov.bn.


