Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Beberapa buah stesen minyak di dua buah daerah dijadualkan akan ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan iaitu pam minyak bagi April 2025.
Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.
Menurut SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira kese-lamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi sehingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya adalah sekitar 2 jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu merupakan pemeriksaan rutin yang dikendalikan tiga kali setahun.
Sehubungan itu, jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan pada April 2025 dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi bagi Daerah Brunei Muara pada 14 April di Stesen Minyak TAIB Beribi, 15 April di Stesen Minyak Syarikat Kerjasama Kampung Tanjong Nangka (Satenaga), Kampung Tanjong Nangka dan 16 April di Stesen Minyak Pengalayan, Kampung Kapok serta bagi Daerah Belait pada 22 April di Stesen Minyak Koperasi Kampung Sungai Teraban (KKST) Berhad, Kampung Sungai Teraban dan pada 24 April di Stesen Minyak Perkhidmatan Lumut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 2334092.
