Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menetapkan syarat dan garis panduan kesihatan baharu bagi jemaah haji dari Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji, garis panduan tersebut merangkumi keperluan vaksinasi, pemeriksaan kesihatan serta langkah-langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan kesihatan awam semasa musim haji.
Antara ketetapan utama ialah jemaah haji perlu bebas daripada penyakit berjangkit dan mempunyai tahap kesihatan mencukupi untuk menunaikan ibadah haji tanpa risiko terhadap diri sendiri atau orang lain.
Penyakit dan keadaan kesihatan yang dianggap tidak layak termasuk kegagalan organ utama seperti buah pinggang; jantung dan paru-paru; penyakit saraf dan mental yang teruk; warga tua uzur; kehamilan berisiko tinggi; penyakit berjangkit aktif seperti tuberkulosis; serta pesakit kanser aktif yang sedang menjalani rawatan kimoterapi.
Selain itu, vaksinasi turut menjadi keutamaan, di mana pengambilan vaksin COVID-19 disyaratkan bagi kategori tertentu yang akan menunaikan haji atau bekerja semasa musim haji.
Bukti imunisasi diterima melalui salah satu daripada tiga kaedah: mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos penggalak baharu bagi musim haji 2025–2026, melengkapkan dos vaksin COVID-19 antara tahun 2021 hingga 2024, atau disahkan telah pulih daripada jangkitan COVID-19 sekitar tahun 2025.
Bagi vaksinasi wajib, semua jemaah haji dikehendaki mengambil vaksin Meningitis Konjugasi Kuadrivalen (ACYW) atau Pentavalent (ACWXY), atau Tetrasaccharide (ACYW) dalam tempoh tidak kurang daripada 10 hari dan tidak lebih daripada lima tahun sebelum berlepas ke Arab Saudi.
Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi turut akan melaksanakan langkah pemeriksaan tambahan di pintu masuk bagi jemaah dari negara tertentu, bergantung kepada tahap risiko kesihatan negara asal masing-masing.
Sekiranya berlaku isu kecemasan kesihatan awam antarabangsa atau wabak penyakit di mana-mana negara penghantar jemaah haji, Kementerian Kesihatan Arab Saudi akan mengambil langkah tambahan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


