BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Makluman mengenai penutupan air di beberapa kawasan di Kampung Madewa dan sekitarnya yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.
Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan memaklumkan perkara ini dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Dalam hal ini, pihak jabatan mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menyebarkan maklumat yang tidak benar, apatah lagi palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.
Sebarang pertanyaan dan aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123 atau Live Chat Channel 123 (8333123), Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn.