Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa berita yang ditularkan mengenai gangguan sementara bekalan elektrik melalui media sosial adalah tidak benar dengan maklumat dalam berita tular berkenaan telah diubahsuai.
JPE dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, merujuk kepada maklumat yang ditularkan di platform media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai dengan gangguan sementara bekalan elektrik pada 14,16-19 dan 21 Oktober.
JPE menegaskan bahawa berita tular berkenaan telah diubahsuai, seolah-olah menggambarkan gangguan sementara bekalan tenaga elektrik yang melibatkan semua kawasan di Negara Brunei Darussalam adalah tidak benar.
Jabatan berkenaan menerangkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan berjadual yang bertujuan untuk meningkatkan ketersediaan bekalan tenaga elektrik akan tetap dijalankan bagi kawasan-kawasan tertentu pada masa yang bersesuaian.
Setiap pengumuman penyelenggaraan berjadual akan mengandungi maklumat mengenai tempat dan masa penyelenggaraan berkenaan dilaksanakan.
JPE menyeru kita sama-sama menjadi rakyat dan penduduk yang bertanggungjawab untuk kepentingan bersama serta tidak menyebarkan berita-berita palsu yang dapat menimbulkan keraguan dan mengganggu ketenteraman orang awam lainnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan mengenai bekalan tenaga elektrik, mereka boleh menghubungi Talian Darussalam 123.


