Maklumat tular taufan Mangkut tidak benar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Berikutan maklumat taufan Mangkut yang tular dalam media sosial baru-baru ini, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) memaklumkan tidak ada sistem taufan yang dikesan di kawasan rantau ini. Taufan Mangkut yang tular di media sosial itu adalah kejadian taufan yang berlaku pada September 2018, jelas Pemangku Pengarah Kaji Cuaca, Dayang Rokiah binti Haji Angas semasa sidang media yang berlangsung di BDMD, hari ini.

Beliau semasa Sidang Media Maklumat Tular Mengenai Taufan Mangkut dan Kemas kini Maklumat Keadaan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam di Anggerek Desa itu menjelaskan sistem yang ada pada masa ini, hanyalah sistem ribut tropika Noul yang tahap kekuatan sistemnya jauh lebih rendah dibandingkan sistem taufan.

Beliau juga menjelaskan bahawa pada pukul 2 pagi tadi waktu tempatan, ribut tropika Noul berada di lokasi 13 darjah Utara 118.5 darjah Timur iaitu kira-kira 933km dari Negara Brunei Darussalam di mana sistem itu dijangka bergerak ke kawasan Utara Laut China Selatan menjauhi Negara Brunei Darussalam.

“Ribut Tropika Noul ini dijangka secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan cuaca negara kitani,” jelas Dayang Rokiah lagi. Sementara itu, Pemangku Timbalan Pengarah Kaji cuaca, Dayang Marzeti binti Haji Mahadi menerangkan bahawa ramalan cuaca negara bagi tempoh beberapa hari akan datang iaitu sehingga 18 September, diramalkan berangin dengan hujan sekali skala lebat melintasi kawasan negara terutama di kawasan laut.

“Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 50kmsj dengan ketinggian ombak boleh mencapai ke tahap bergelora sehingga 2.5 meter semasa atau dekat hujan yang berangin.” Oleh yang demikian, Dayang Marzeti menasihatkan orang ramai khususnya para pemandu di jalan raya dan para pelaut supaya mengambil langkah berjaga-jaga demi menjamin keselamatan semua terutama keadaan cuaca yang dijangka aktif pada masa ini yang menjejaskan negara.

“Kami akan terus memantau perkembangan ribut tropika tersebut dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu.” Dayang Rokiah menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti perkembangan cuaca terkini dengan menghubungi peramal kaji cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau aplikasi media sosial BDMD.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu dan menghentikan penyebarannya.

Dayang Rokiah (kiri) dan Dayang Marzeti pada sidang media yang berlangsung di Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Anggerek Desa.