Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Maklumat tular di media-media sosial yang menyatakan bahawa ‘Orang tahanan lokap Balai Polis Tutong lari’ adalah tidak benar.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menafikan perkara berkenaan dalam kenyataannya dan menekankan bahawa PPDB tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sepertinya.
Bagaimanapun, PPDB mengesahkan bahawa Balai Polis Tutong telah menerima satu laporan berkenaan seorang lelaki warga Indonesia yang sedang dalam pencarian oleh sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini.
Pihak polis sedang berusaha untuk membantu bagi pencarian individu tersebut dan memohon orang ramai jika ada menemui sebarang individu yang mencurigakan agar segera menghubungi talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.