Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makmal forensik kenderaan pertama di Malaysia dilancar

    CYBERJAYA, 8 SEPT – CyberSecurity Malaysia (CSM), agensi di bawah Kementerian Digital, hari ini melancarkan Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia sebagai usaha memperkukuh keupayaan forensik digital negara dalam penyiasatan insiden khususnya melibatkan kemalangan dan kes jenayah.
     
    Dilancarkan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, makmal itu juga dijangka menyokong siasatan jenayah oleh pihak berkuasa seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan yang menggunakan elemen kenderaan.
     
    Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran, Gobind berkata penubuhan makmal itu selaras dengan keperluan untuk mengurus dan menganalisis data secara berkesan bagi membantu siasatan serta mengenal pasti punca sebenar sesuatu insiden.
     
    “Kalau kami ada data, kami boleh menilai dan meneliti bagaimana sebenarnya berlaku insiden tersebut. Satu, kami dapat menyelesaikan masalah tersebut dari sudut siasatan.
     
    “Kedua, kami juga dapat melihat apakah sebenarnya yang telah membawa kepada insiden tersebut, dan dengan itu kami dapat mengambil langkah seterusnya untuk membaiki kekurangan yang wujud yang membawa kepada kemalangan tersebut,” katanya. 
     
    Beliau berkata kenderaan moden pada masa kini bukan sahaja dilihat sebagai medium pengangkutan tetapi juga sebagai sumber data digital termasuk prestasi enjin, corak pemanduan, kedudukan sistem penentu kedudukan global (GPS), rakaman kamera dan sistem maklumat hiburan (infotainment).
     
    “Data ini penting untuk penyelidikan industri automotif sebagai bukti digital siasatan kemalangan, jenayah dan keselamatan awam,” katanya.
     
    Beliau turut menjelaskan bahawa CSM akan bertindak berdasarkan permintaan rasmi daripada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi dapatan forensik kenderaan dan pada masa sama perlu memastikan setiap permintaan itu mematuhi peruntukan undang-undang khususnya melibatkan perlindungan data peribadi. – Bernama
     
    Pengurus Forensik Kenderaan CSM, Fakhrul Afiq Abdul Aziz menggunakan peralatan forensik untuk memeriksa data kenderaan di Menara Cyber Axis pada 8 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda