Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Inovasi dan teknologi telah membolehkan makmal untuk mengurangkan sisa buangan dan penggunaan tenaga tanpa kompromi terhadap kecemerlangan diagnostik.
Pada masa yang sama, kolaborasi yang lebih kukuh di seluruh sektor penjagaan kesihatan amat disarankan untuk memajukan matlamat kemampanan serta memastikan masa depan yang lebih sihat.
Seruan itu dibuat oleh Ketua Jabatan Makmal, JPMC, Dr Haji Mohammad bin Haji Kassim dalam ucapan alu-aluannya di Hari Sains Makmal Bioperubatan Antarabangsa yang berlangsung di Jerudong Park Medical Centre (JPMC), hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengarah Eksekutif JPMC.
Acara sambutan yang dihoskan oleh Jabatan Makmal, JPMC, membawa tema 2025-2026, Biomedical Laboratory Scientists Promoting Sustainability in Clinical Diagnostics, di mana ia mengetengahkan komitmen JPMC kepada amalan makmal bertanggungjawab alam sekitar sambil melaksanakan penjagaan pesakit yang canggih.
Acara sambutan menyaksikan pemotongan kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham; Ketua Pegawai Perubatan, Dr Meera Sahib Kabeer dan Dr Haji Mohammad sebagai simbolik meraikan acara berkenaan.
Pada acara itu, Yang Berhormat Dato serta para jemputan khas berpeluang untuk menyaksikan dan meneroka aktiviti interaktif yang mengetengahkan permainan dan kuiz yang direka untuk menonjolkan peranan mustahak saintis makmal.
Pameran berkenaan juga mengetengahkan tema kempen 2025, mendidik para peserta mengenai diagnostik klinikal mampan menerusi pembelajaran amali.
Sambutan tahunan berkenaan dihasratkan bukan sahaja untuk mengiktiraf sumbangan penting profesional makmal tetapi juga sebagai membuktikan komitmen JPMC ke arah kecemerlangan diagnostik selain mengetengahkan bagaimana makmal sains terus berubah dan mengembangkan impaknya kepada kesihatan awam dan hasil pesakit.