Monday, July 1, 2024
23 C
Brunei

    -

    Makmal seni tercanggih dunia tersembunyi di bawah Louvre

    PARIS – Ia kelihatan seperti sarang penyangak dalam filem Bond: di sebalik pintu berperisai, tersembunyi di bawah tanah Louvre di Paris, terletaknya salah satu makmal seni tercanggih di dunia.

    Merangkumi tiga tingkat dengan keluasan hampir 6,000 meter persegi, Pusat Penyelidikan dan Pemulihan Muzium Perancis (C2RMF) mempunyai pemecut zarahnya sendiri yang dikenali sebagai AGLAE, dan dipenuhi dengan ahli radiologi, ahli kimia, ahli geologi, ahli metalurgi, ahli arkeologi dan jurutera.

    Pasukan yang terdiri daripada 150 orang itu meneliti kira-kira 1,000 karya seni setiap tahun untuk mengenal pasti bahan dan kaedah pembuatannya, asal usul dan usianya, serta bagaimana karya-karya tersebut berubah seiring dengan peredaran zaman.

    Analisis mereka menyalurkan maklumat kepada pasukan pemulihan di pusat itu, Louvre, Versailles dan tempat lain. Banyak karya seni agung telah dibawa ke makmal itu sejak penubuhannya pada tahun 1999, termasuk Mona Lisa, tingkap kaca berwarna Katedral Notre-Dame dan pedang Napoleon.

    Apabila AFP diberi peluang melawat baru-baru ini, sebuah patung gangsa abad ke-11 yang didakwa sebagai dewa Hindu, Vishnu baru sahaja tiba dari Kemboja sebelum pameran di Perancis dan Amerika Syarikat tahun depan.

    Patung gangsa gergasi Vishnu baru tiba dari Kemboja, untuk dipulihkan di C2RMF di muzium Louvre, di Paris. – AFP
    Gambar AFP
    Kakitangan C2RMF di muzium Louvre membuka balutan arca patung gangsa gergasi abad ke-11, Vishnu untuk dipulihkan. – AFP
    Patung gangsa yang dipasang di AGLAE untuk analisis kimia karya seni dan arkeologi. – AFP

    Sebuah karya agung seni Khmer, Vishnu of Western Mebon ditemui di Angkor Wat, Kemboja pada tahun 1936, menggambarkan dewa Hindu dalam posisi baring yang jarang ditemui dan dianggarkan berukuran enam meter apabila lengkap.

    Di sebalik pintu tebal yang diperbuat daripada plumbum, pasukan yang terdiri daripada 10 orang pakar sedang menjalankan X-ray dan pengimbasan 3D ke atas patung tersebut.

    Bahagian tertentu kemudian akan diuji dengan teknik seperti pendarfluor X-ray dan spektrometri yang menggunakan sinar gamma dan elektron untuk mengkaji komposisi kimia dan molekul secara terperinci.

    “Kami seperti NASA, masing-masing dengan kemahiran sendiri, atau CSI: Miami, polis saintifik,” kata ketua pasukan, David Bourgarit, seorang jurutera penyelidikan archaeo-metalurgikal.

    “Tapak jenayah kami adalah penemuan arkeologi. Kami cuba memahami siapa yang membuatnya, bagaimana dan mengapa, sama seperti penyiasatan polis,” tambahnya.

    Beliau menunjukkan bintik-bintik putih kecil di sekitar kening patung tersebut yang menurutnya merupakan logam lain, ‘lebih tumpat daripada tembaga’, yang memerlukan analisis lanjut untuk mengenal pasti.

    Pasukan itu juga ingin mengenal pasti tanah liat yang digunakan untuk membuat acuan awal patung tersebut, yang masih terdapat di dalamnya. Ini membolehkan mereka menentukan dengan tepat di mana ia dibuat dengan membandingkan sampel tanah.

    Beberapa serpihan mungkin juga melalui AGLAE (akronim Perancis untuk Grand Louvre Accelerat or of Elemental Analysis), yang dipasang pada tahun 1990an dan satu-satunya di dunia yang berfungsi secara eksklusif pada karya seni.

    Dalam sebuah bilik yang dipenuhi dengan mesin, pemecut linear ini mengeluarkan bunyi kuat ketika ia menghasil dan memancut zarah pada karya seni dan artifak, membolehkan saintis menentukan jumlah dan kombinasi elemen dalam objek tersebut, menambah lapisan analisis untuk penentuan tarikh dan pengesahan keaslian. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi akan lawat Kazakhstan, Tajikistan 2 Julai

    BEIJING, 30 JUN - Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri mesyuarat pemimpin dan mengadakan lawatan negara ke Kazakhstan dan Tajikistan mulai Selasa ini, kementerian...