Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sembahyang secara berjemaah berbanding sembahyang bersendirian atau seorang diri, sama ada bagi lelaki mahupun perempuan, mempunyai kelebihannya serta menjanjikan fadhilat yang sangat menguntungkan.
Antaranya ganjaran pahala sebanyak 27 darjat. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar r.a., Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sembahyang berjemaah lebih afdal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat.” (Hadis riwayat Muslim)
Menurut pendapat yang al-azhhar (lebih kuat), yang dimaksudkan dengan darjat itu ialah sembahyang. Manakala dalam sesetengah riwayat menyebutkan maksud darjat itu sebagai gandaan.
Jemaah yang ramai lebih afdal berbanding yang sedikit
Dalam keadaan tertentu, sembahyang secara berjemaah dengan bilangan yang banyak adalah lebih afdal daripada sembahyang secara berjemaah dengan bilangan yang sedikit.
Telah diriwayatkan daripada Ubay bin Ka‘b r.a., Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Dan sesungguhnya sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih baik daripada sembahyangnya (yang dikerjakan) seorang diri. Dan sembahyangnya (yang dikerjakan) bersama dua orang lelaki (lain) adalah lebih baik daripada sembahyangnya (yang dikerjakan) bersama (hanya) seorang lelaki. Dan mana-mana yang lebih banyak, maka itu adalah lebih disukai di sisi Allah Ta‘ala.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam hadis di atas, maksud ‘sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih baik’ ialah kerana mendapat pahala yang lebih. Manakala maksud ‘mana-mana yang lebih banyak’ ialah sembahyang yang banyak bilangan jemaah di dalamnya adalah lebih disukai di sisi Allah Ta‘ala berbanding jemaah yang sedikit bilangannya.
Telah disebutkan dalam kitab al-Majmu‘ dalam Bab hai’at al-jumu‘ah bahawa sesiapa yang sembahyang bersama-sama 10,000 jemaah, maka baginya ganjaran 27 darjat dan sesiapa yang sembahyang bersama-sama dua orang jemaah dia juga mendapat ganjaran 27 darjat.
Bagaimanapun darjat-darjat orang yang sembahyang dalam keadaan pertama (yang lebih banyak bilangannya) adalah lebih akmal atau sempurna.
Perkara ini telah dibayangkan dalam bab yang sama mengenai ganjaran bagi mereka yang datang ke masjid pada hari Jumaat pada awal waktu berbanding mereka yang datang pada akhir waktu. Kedua-dua kumpulan ini sama-sama berhasil mendapat ganjaran yang asal, iaitu seekor unta ataupun lembu atau selain keduanya, akan tetapi unta yang diperoleh oleh mereka yang datang pada awal waktu itu lebih sempurna berbanding unta bagi mereka yang datang pada akhir waktu. Demikian pula, bagi mereka yang datang pada waktu pertengahan, maka mereka mendapat unta yang sederhana atau pertengahan.
Memperoleh fadhilat berjemaah
Menurut para ulama, fadhilat berjemaah itu diperoleh dengan memperoleh sembahyang berjemaah bersama imam. Antara caranya ialah seorang yang mengikut imam dengan mengikuti atau menyertai imam sejurus imam mengangkat takbiratul ihram, maka dia akan memperoleh sembahyang berjemaah dan fadhilat berjemaah. Selain itu, dia juga memperolehi fadhilat berjemaah sekiranya dia sempat menyertai atau mengikut imam pada mana-mana bahagian dan rakaat dalam sembahyang imam.
Sama ada pada permulaan sembahyang atau pertengahan, malahan sepanjang masa sembahyang dilaksanakan sekalipun sebentar sahaja, selama mana imam belum selesai memberi salam (yang pertama) dalam sembahyang, kecuali dalam sembahyang fardhu Jumaat sebagaimana yang akan dijelaskan kemudian.
Maksud imam belum selesai mengucapkan salam ialah imam belum sampai kepada huruf ‘mim’ pada lafaz ‘alaikum’. Oleh yang demikian, sekiranya makmum tersebut mengangkat takbiratul ihram serentak dengan permulaan imam memberi salam dan sebelum imam sampai ke huruf ‘mim’ seperti yang dijelaskan di atas, maka dalam situasi ini dia memperoleh jemaah bersama imam.
Para ulama juga memberikan gambaran bahawa seseorang memperoleh fadhilat berjemaah selama mana imam belum selesai memberi salam, sekalipun dia tidak sempat duduk bersama-sama imam. Sebagai contoh, sebaik-baik sahaja dia sempurna mengangkat takbiratul ihram, imam pun memberi salam.
Di sini dapat difahami bahawa sesiapa yang menyertai imam, sama ada daripada awal sembahyang imam, pertengahan ataupun penghujungnya, kesemua mereka (makmum) memperoleh fadhilat berjemaah dan ganjaran pahala yang dijanjikan.
Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa mereka yang telah mengikuti imam dari awal sembahyang imam tersebut akan mendapat kelebihan atau kebaikan yang lebih banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding mereka yang terkemudian mengikut imam atau mengikut imam cuma pada sebahagian sembahyang imam sahaja.
Perkara ini adalah berdasarkan sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu bahawa sesiapa yang sembahyang bersama-sama sepuluh ribu orang jemaah ataupun bersama-sama dua orang jemaah, masing-masing memperoleh ganjaran 27 darjat. Bagaimanapun, darjat-darjat orang yang sembahyang dalam bilangan jemaah yang banyak adalah lebih akmal atau sempurna berbanding bilangan jemaah yang sedikit.
Memperoleh fadhilat berjemaah dalam Sembahyang Jumaat
Bagi seseorang memperolehi sembahyang berjemaah bersama imam pada sembahyang fardhu Jumaat, maka kedudukannya adalah berbeza daripada sembahyang fardhu lima waktu.
Secara ringkas, mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat secara berjemaah merupakan fardhu ‘ain. Sembahyang fardhu Jumaat disyaratkan dikerjakan secara berjemaah dengan mencukupkan bilangan 40 orang jemaah yang sah Jumaatnya (mukallaf, lelaki, merdeka dan bermastautin), dan bilangan ini termasuklah imam Jumaat itu sendiri.
Untuk membolehkan seorang makmum yang masbuk mendapati sembahyang fardhu Jumaat, maka hendaklah dia mengikut imam sembahyang fardhu Jumaat paling kurang satu rakaat.
Inilah antara perbezaan sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang fardhu Jumaat.
Oleh yang demikian, dalam sembahyang fardhu Jumaat, sekiranya seorang makmum sempat mengikut imam yang akan ruku‘ pada rakaat yang kedua atau imam yang sedang rukuk pada rakaat yang kedua berserta thuma’ninah, maka dia memperolehi sembahyang fardhu Jumaat, iaitu memperoleh satu rakaat. Setelah imam selesai memberi salam, maka makmum yang masbuk itu hendaklah bangun untuk menyempurnakan satu rakaat lagi dan kemudian memberi salam.
Sekiranya seorang makmum hanya sempat mengikut imam setelah imam selesai ruku‘ pada rakaat kedua ataupun ketika imam sujud pada rakaat kedua dalam sembahyang fardhu Jumaat, maka dalam keadaan ini dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Bagaimanapun sah dia mengikut imam tersebut, malahan dia memperolehi fadhilat berjemaah, sekalipun dia tidak memperoleh sembahyang fardhu Jumaat.
Oleh yang demikian, makmum tersebut meneruskan sembahyang fardhu Jumaat yang dikerjakannya dan setelah imam sembahyang fardhu Jumaat memberi salam, hendaklah dia menyempurnakannya menjadi empat rakaat sembahyang fardhu Zohor, kemudian diakhiri pada rakaat keempat dengan salam.
Berimamkan seorang makmum
Melihat kepada ganjaran dan kelebihan sembahyang berjemaah sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas dan pandangan para ulama yang telah disebutkan terdahulu, maka tidak hairanlah kenapa sesetengah orang melazimkan sembahyang secara berjemaah serta tidak mahu melepaskan peluang untuk merebut ganjaran tersebut.
Mengenai sembahyang berjemaah dan mengikut imam ini, timbul pula satu persoalan, iaitu apakah hukumnya jika seseorang yang hendak menunaikan sembahyang secara berjemaah dengan menjadikan atau mengikut seorang makmum yang masbuk sebagai imam? Penjelasan ringkas mengenainya seperti berikut.
Untuk melakukan sembahyang secara berjemaah, perlu ada seorang imam dan jemaah. Sembahyang berjemaah itu terhasil dengan dua orang, iaitu seorang imam dan seorang makmum, ataupun lebih.
Antara syarat sah mengikut seorang imam atau menjadikannya imam ialah imam tersebut hendaklah bukan terdiri daripada seorang makmum dan tidak pula ada syak atau keraguan sama ada dia seorang imam ataupun makmum.
Persoalannya bagaimanakah yang dimaksudkan berimamkan seorang makmum itu? Sebagai contoh, Ahmad mendapati sekumpulan orang sedang sembahyang berjemaah mengikut seorang imam, lalu dia menjadikan salah seorang daripada makmum itu sebagai imam, sedangkan makmum tersebut masih atau sedang menjadi makmum kepada imam yang sedia ada.
Dalam keadaan ini, ulama sepakat (ijma‘) mengatakan bahawa kedudukan sembahyang Ahmad dengan berimamkan seorang makmum tersebut adalah tidak sah.
Ini kerana seseorang itu tidak boleh menjadi imam dan juga makmum dalam satu masa yang sama. Dengan kata lain, orang yang hendak diikuti itu tidak boleh mengikut orang lain ataupun sedang berimamkan orang lain.
Bagaimanapun maksud ‘tidak sah mengikut seorang makmum’ itu tidaklah termasuk jika makmum itu sudah terputus daripada mengikut imam.
Sebagai contoh, Ahmad mendapati sekumpulan orang sedang mengikut seorang imam sembahyang berjemaah, bukan dalam sembahyang Jumaat. Apabila imam selesai memberi salam, salah seorang makmum yang masbuk pun seterusnya berdiri untuk menambah dan menyempurnakan bilangan rakaatnya.
Pada ketika ini, jika Ahmad menjadikan makmum yang masbuk itu sebagai imam, maka hukum sembahyang Ahmad adalah sah.
Inilah pendapat Imam Ibn Hajar Rahimahullah bahawa hukum sembahyang seseorang dengan cara disebutkan di atas adalah sah dan tidak dihukumkan makruh.
Berniat menjadi imam pada pertengahan sembahyang dan caranya
Pada dasarnya, niat imamah atau niat menjadi imam, melainkan dalam sembahyang fardhu Juma‘at, bukanlah suatu syarat menentukan sahnya sembahyang berjemaah atau sebaliknya. Bagaimanapun berniat menjadi imam dalam sembahyang adalah sunat. Perkara ini disunatkan agar dia (yang menjadi imam) juga mendapat fadhilat berjemaah. Oleh yang demikian, walaupun dia (yang menjadi imam) tidak berniat menjadi imam, sembahyang berjemaah itu tetap sah melainkan sembahyang Jumaat.