Makmum yang masbuk dijadikan imam

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Sambungan minggu lalu

Oleh kerana itu, seorang yang sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, apabila datang orang lain menyertainya sebagai makmum untuk mengerjakan sembahyang secara berjemaah, maka sunat bagi orang yang mengerjakan sembahyang secara bersendirian itu berniat menjadi imam.

Pada pendapat al-Qadhi Husain Rahimahullah, apabila seorang yang sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, lalu datang orang lain menyertainya sebagai makmum, sedangkan dia (orang yang dijadikan imam) tidak mengetahui akan perkara ini (berjemaah), maka dia mendapat fadhilat berjemaah kerana mereka (para makmum) memperoleh fadhilat jemaah tersebut disebabkan olehnya (orang yang dijadikan imam). Sekiranya dia (orang yang dijadikan imam) mengetahui bahawa niat mereka yang menyertainya adalah untuk berjemaah dengannya, akan tetapi dia tidak berniat (memasang niat) sebagai imam, maka dalam situasi ini dia tidak memperoleh fadhilat berjemaah tersebut.

Selain itu, perlu juga diketahui bahawa imam sembahyang berjemaah akan mendapat pahala sembahyang secara berjemaah bermula daripada ketika dia berniat menjadi imam.

Adapun mengenai cara memasang niat untuk menjadi imam pada pertengahan sembahyang, maka memadailah seseorang itu berniat di dalam hatinya untuk menjadi imam.

Walau bagaimanapun hukum niat berjemaah atau mengikut imam bagi makmum adalah berbeza. Antara syarat sah sembahyang seseorang yang mengikut imam ialah niat mengikut imam atau niat berjemaah atau niat menjadi makmum. Bagi makmum, niat mengikut imam itu dilakukan pada ketika mengangkat takbiratul ihram.

Sebagai kesimpulan, peluang untuk melaksanakan sembahyang secara berjemaah itu janganlah dilepaskan dan disia-siakan begitu sahaja melihat kepada fadhilat yang menguntungkan yang bakal diraih. Di samping itu, dianjurkan melaksanakan sembahyang berjemaah itu dalam bilangan yang lebih banyak kerana ia lebih disukai di sisi Allah Ta‘ala dan adalah lebih afdhal dengan mendapat pahala yang berganda.

Demikian juga, sesesorang yang mengikut imam (berjemaah) dari awal sembahyang imam akan mendapat kelebihan yang banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding seseorang yang mengikut imam cuma dalam sebahagian sembahyang sahaja.

Sembahyang berjemaah itu terhasil dengan hanya dua orang ataupun lebih. Antara syarat sah sembahyang berjemaah hendaklah orang yang dijadikan imam itu bukan seorang makmum. Bagaimanapun jika makmum itu sudah terputus daripada mengikut imamnya, umpamanya imam selesai memberi salam dalam sembahyang dan makmum tersebut bangkit lagi untuk menambah dan menyempurnakan rakaatnya, maka hukum berimamkan makmum (yang masbuk) dalam keadaan sedemikian adalah sah.

Sunat bagi orang yang mengerjakan sembahyang secara bersendirian itu berniat menjadi imam, apabila datang orang lain menyertainya sebagai makmum untuk mengerjakan sembahyang secara berjemaah.