Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Majlis Tadarus Al-Quran bagi Pegawai dan Kakitangan Wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sempena Bulan Ramadan bagi Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi telah diadakan hari ini di Masjid Kampung Sungai Buloh, Daerah Brunei dan Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah isteri Setiausaha Tetap, KHEU, Hajah Siti Norishan binti Haji Abdul Ghafor, yang seterusnya memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Acara kemudiannya diikuti dengan tadarus diketuai oleh Penolong Pensyarah, Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Tahlil dipimpin oleh Pegawai Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Hajah Rohani binti Haji Khamis. Manakala Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pusat Dakwah Islamiah, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan.
Aktiviti keagamaan tahunan yang dianjurkan oleh kementerian tersebut adalah sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid-masjid di negara ini sekali gus dapat meningkatkan lagi ibadat dalam merebut ganjaran yang besar di bulan Ramadan melalui amalan tadarus Al-Quran.
Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan wanita di kementerian berkenaan.