Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makmurkan masjid dengan aktiviti bermanfaat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Masjid bukan sahaja sebagai tempat untuk melaksanakan ibadah sembahyang, tetapi ia juga berfungsi sebagai pusat pembelajaran, perhubungan sosial dan penyatuan umat Islam.

    Perkara ini bukan baharu, ia telah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW di mana masjid menjadi pusat pendidikan, perbincangan mengenai urusan umat serta tempat untuk menegakkan keadilan.

    Perkara ini dijelaskan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini bertajuk Menjaga, Memuliakan dan Memakmurkan Masjid, dan seterusnya menambah seseorang yang suka berkunjung ke masjid pada setiap masa semata-mata untuk mendapatkan kelebihan dan ganjaran daripada Allah SWT, mereka itu disifatkan oleh Allah SWT sebagai orang yang benar-benar beriman kepadaNya dan mendapat hidayah petunjuk daripadaNya.

    Selain itu, beliau menekankan bahawa pembinaan masjid merupakan simbol kekuatan umat Islam yang memupuk perpaduan dan kesatuan, dan pembinaan masjid perlu disertai dengan pengimarahan iaitu melaksanakan aktiviti-aktiviti dan kegiatan bermanfaat yang diredai Allah SWT.

    Masyarakat sudah semakin menyedari keagungan sesuatu masjid adalah diukur daripada kegiatan yang dilakukan di dalamnya, dan yang membanggakan semakin bertambah perhatian belia-belia dan remaja turut sama memakmurkan masjid dan terlibat dalam aktiviti masjid.

    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

    Katanya lagi, “Kesan kepada usaha ini akan membentuk generasi yang mantap, istiqamah, dedikasi, bersikap peka dan selalu terpanggil bagi menghulurkan khidmat dan bantuan, dan selayaknya masjid itu dibangunkan dan dihidupkan oleh jemaah dan kemudian berfungsi membina jemaah.”

    Khatib dalam khutbah seterusnya mengongsikan antara usaha memakmurkan dan menghidupkan masjid ialah dengan menjaga sembahyang berjemaah di dalamnya, dan kedua pula sebagai pusat penyampaian dakwah, manakala yang ketiga sebagai pusat kesejahteraan masyarakat.

    Beliau turut menjelaskan, masjid juga tempat mengadakan pengajian harian, mingguan dan ceramah berkala, aktiviti ilmu agama mahupun ilmu lain adalah diadakan di masjid-masjid agar ia sampai ke masyarakat umum dengan baik.

    Masjid itu, jelasnya, madrasah ilmu dan dakwah serta tempat melatih akhlak yang mulia, masjid umpama taman syurga, masjid juga menjadi pusat khidmat masyarakat, selain berperanan untuk mengeratkan hubungan silaturahim ahli komuniti. Dalam masa yang sama, jelas khatib, masjid juga boleh terlibat pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat, dan ini termasuk menyediakan latihan kemahiran, pusat sokongan mental, dan aktiviti yang dapat memperkasa hidup masyarakat secara keseluruhan.

    Melihat bertapa besar ganjaran bagi yang menjaga, menghormati dan memuliakan masjid, tegas khatib, tidak menjadi kerugian untuk menghulurkan atau menginfakkan walau sedikit daripada harta untuk pembinaan masjid kerana setiap harta yang diberikan ke jalan Allah SWT akan beroleh pahala dan ganjaran daripadaNya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda