Thursday, January 2, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makna penggabungan Nissan, Honda bagi industri auto

    BANGKOK, 30 DIS — Syarikat gergasi pengeluar kereta Jepun, Honda dan Nissan cuba bergabung dan menjadi pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia (mengikut rekod jualan) ketika industri auto mengalami peralihan daripada bahan api fosil ke enjin elektronik yang penuh dramatik.

    Kedua-dua syarikat itu telah menandatangani memorandum persefahaman atau MoU baru-baru ini dan ahli perikatan Nissan yang lebih kecil, Mitsubishi Motors juga telah bersetuju untuk turut serta.

    Dalam perjanjian tersebut, Honda akan menerajui pengurusan baharu, mengekalkan prinsip dan jenama setiap syarikat dalam penggabungan.

    Gabungan dua syarikat gergasi berkenaan membawa beberapa maksud untuk kedua-dua syarikat dan juga industri auto yang akan dibincang secara ringkas.

    Perubahan industri

    Sememangnya diakui bahawa pembuat kereta China sedang berkembang dan menggegarkan industri auto sementara pengeluar kereta yang lain sedang bergelut untuk beralih daripada enjin pembakaran kepada elektrik.

    Kenderaan elektrik (EV) yang agak murah daripada BYD China, Great Wall dan Nio sedang menguasai pasaran syarikat kereta di Amerika Syarikat (AS), China dan tempat-tempat lain.

    Pembuat kereta Jepun pula ketinggalan dalam saingan besar berkenaan dan kini cuba mengurangkan kos dan menebus masa yang telah hilang.

    Ogos lalu, Nissan, Honda dan Mitsubishi mengumumkan bahawa mereka akan berkongsi komponen untuk EV seperti bateri dan juga bekerja sama mengkaji perisian untuk pemanduan autonomi sebagai persediaan menghadapi perubahan dramatik dalam industri auto yang berpusat di sekitar elektrifikasi.

    Sebelum itu, perjanjian awal antara pembuat kereta kedua terbesar Jepun, Honda dan ketiga terbesar, Nissan telah diumumkan pada Mac.

    Penggabungan tersebut boleh menghasilkan keuntungan bernilai kira-kira AS$55 bilion berdasarkan permodalan pasaran ketiga-tiga pembuat kereta.

    Gabungan berkenaan juga akan membantu pembuat kereta Jepun yang lebih kecil mengembangkan skala mereka untuk bersaing dengan peneraju pasaran Jepun, Toyota Motor Corp. dan juga penerjau Jerman, Volkswagen AG. Toyota sendiri telah mempunyai perkongsian teknologi dengan Mazda Motor dan Subaru.

    Apa yang Honda perlukan daripada Nissan?

    Nissan mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki Honda iaitu model SUV besar seperti Armada dan Infiniti QX80 yang mempunyai kapasiti menunda yang besar serta prestasi kenderaan lasak yang baik, menurut Sam Fiorani, naib presiden AutoForecast Solutions.

    Nissan juga mempunyai banyak pengalaman membina bateri dan EV serta rangkaian kuasa hybird gas-elektrik yang boleh membantu Honda dalam membangunkan EV sendiri dan generasi hibrid akan datang, katanya.

    Gambar Unsplash

    “Nissan memang mempunyai beberapa segmen produk yang tiada pada Honda pada masa ini,” menurut Sam Abuelsamid, penganalisis industri automotif kawasan Detroit.

    Walaupun teknologi elektrik Leaf dan Ariya daripada Nissan tidak laku di Amerika Syarikat, ia tetap kenderaan yang kukuh, kata Fiorani. “Mereka tidak berpuas hati dengan kejayaan mereka dan mereka terus membangunkan teknologi berkenaan,” katanya. “Mereka mempunyai produk akan datang yang boleh menyediakan platform yang baik kepada Honda untuk generasi akan datang.”

    Kenapa bergabung sekarang?

    Nissan berkata bulan lalu bahawa ia telah mengurangkan 9,000 pekerjaan atau kira-kira 6% daripada tenaga kerja globalnya dan juga mengurangkan kapasiti pengeluaran global sebanyak 20% selepas melaporkan kerugian suku tahunan sebanyak 9.3 bilion yen ($61 juta).

    Tambahan lagi pada awal bulan ini, ia merombak pengurusannya dan ketua eksekutifnya, Makoto Uchida, mengambil potongan gaji 50% untuk bertanggungjawab ke atas masalah kewangan, sambil mengatakan Nissan perlu menjadi lebih cekap dan bertindak balas dengan lebih baik kepada cita rasa pasaran, peningkatan kos dan perubahan global yang lain.

    Fitch Ratings pula menurunkan taraf prospek kredit Nissan kepada ‘negatif,’ baru-baru ini yang bermaksud menunjukkan kerugian yang semakin teruk. Sebahagiannya disebabkan oleh pemotongan harga dalam pasaran Amerika Utara.

    Namun Nissan menyatakan bahawa ia mempunyai struktur kewangan yang kukuh dan rizab tunai yang kukuh yang berjumlah 1.44 trilion yen ($9.4 bilion).

    Harga saham Nissan juga telah jatuh ke tahap yang tidak baik. Laporan dalam majalah kewangan Jepun, Diamond menyatakan perbincangan dengan Honda semakin mendesak selepas pengeluar iPhones, Foxconn dari Taiwan mula meneroka kemungkinan pengambilalihan Nissan sebagai sebahagian daripada usahanya ke dalam sektor EV.

    Syarikat itu juga bergelut selama bertahun-tahun berikutan skandal kewangan melibatkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn pada akhir 2018 atas tuduhan penipuan dan penyalahgunaan aset syarikat.

    Honda tidak terkecuali apabila melaporkan keuntungannya merosot hampir 20% pada separuh pertama tahun fiskal April-Mac berbanding tahun sebelumnya, berikutan jualan rendah yang dialami di China.

    Logo Nissan (kiri) dan Honda. – AP

    Lebih banyak angin kencang

    Toyota menghasilkan 11.5 juta kenderaan pada 2023, manakala Honda, 4 juta dan Nissan, 3.4 juta. Mitsubishi Motors pula hanya lebih daripada 1 juta. Walaupun selepas penggabungan berlaku, Toyota tetap akan kekal sebagai pengeluar kereta Jepun yang terkemuka.

    Semua pembuat kereta global juga bakal menerima kejutan daripada Donald Trump sekiranya tarif akan beliau naikkan ke atas import produk asing, walaupun daripada sekutu seperti Jepun dan negara jiran seperti Kanada dan Mexico.

    Nissan adalah antara syarikat kereta utama yang telah melaraskan rantaian bekalan termasuk kenderaan yang dipasang di Mexico.

    Tambahan lagi, penganalisis berkata terdapat juga ‘perubahan pada kemampuan’ yang berlaku di seluruh industri diketuai oleh pengguna yang tidak mampu membayar hampir AS$50,000 untuk kenderaan baharu.

    Ini menyebabkan pasaran penting untuk syarikat seperti Nissan, Honda dan Toyota di AS, memaksa pembuat kereta untuk menjual kereta dengan harga yang lebih rendah, yang pasti akan mengurangkan keuntungan industri. – AP

    Ketua Eksekutif Nissan, Makoto Uchida (kiri), Ketua Eksekutif Honda Toshihiro Mibe (tengah) dan Takao Kato, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors bergambar ramai semasa sidang akhbar bersama di Tokyo, Jepun pada 23 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda