Oleh Nurdiyanah R.
Dunia seni lukis bagaikan matahari yang sentiasa hadir mewarnai diri insan yang bernama pelukis. Tidak kiralah sama ada lukisan tangan mahu pun teknologi digital, dengan adanya anugerah bakat serta minat yang mendalam dalam dunia seni lukis itu, segala ketenangan dan kepuasan akan sentiasa dirasai dalam diri mereka.
Bagaikan melukis dari hati, begitulah jiwa insan berbakat seni lukis ini dalam menghasilkan sebuah karya lukisan yang memiliki makna penuh tersirat sehingga mampu memukau mata setiap orang yang memandangnya.
Wartawan Media Permata baru-baru ini berkesempatan bertemu dengan Lu Shir Mao, salah seorang pelukis yang berjaya memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Seni Norma Baharu BN (The New Normal BN Art Competition) dengan tema Penjagaan Diri atau Kesihatan dan Kebersihan untuk kumpulan umur 19 tahun dan ke atas.
Pertandingan Seni Norma Baharu BN yang dianjurkan oleh Kaleidoscope Studio itu disokong oleh Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam.
Lu, berusia 20 tahun, melahirkan rasa gembiranya kerana berjaya menghasilkan seni lukis menerusi teknik digital untuk menjadi tatapan masyarakat di negara ini yang sememangnya begitu bertepatan dengan situasi yang dihadapi masyarakat pada masa ini, iaitu penggunaan platform digital bagi menyemai amalan penjarakan sosial dalam kehidupan sehari-hari ketika negara masih dilanda wabak COVID-19.
“Melihat kepada situasi pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh pelosok dunia dan tidak terkecuali negara kita sejak kebelakangan ini, dari situlah saya menerima inspirasi untuk mencurahkan ilham yang bermain di minda ini sehinggalah terhasilnya sebuah karya seni lukis berjudul ‘The COVID Ritual’, menurut Lu.
Liku-liku semasa COVID-19
Secara umumnya, Lu Shir Mao menjelaskan bahawa karya yang dimenangi oleh beliau berkisar mengenai impak situasi penularan pandemik COVID-19 ke atas kalangan masyarakat di negara ini.
Bermula dengan pembelian panik yang pernah berlaku di kedai-kedai runcit dan gedung pasar raya di negara ini, misalnya pembelian keperluan asas seperti beras, tisu dan hand sanitizer.
Ungkapan ‘Jan Babal’ sering didengar dalam kalangan masyarakat di negara ini yang merujuk kepada nasihat tegas agar mematuhi arahan pihak kerajaan dalam sama-sama menangani penularan wabak ini.
“Masyarakat disarankan supaya mengamalkan sikap menjaga kebersihan dan kesihatan diri seperti sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air yang bersih dan juga memperbanyakkan meminum air putih dalam kehidupan sehari-hari.
“Begitu juga penggunaan alat pemeriksa suhu di mana-mana tempat dan juga aplikasi imbasan kod QR melalui BruHealth. Itulah unsur-unsur yang saya ketengahkan dalam karya ini,” jelasnya lagi dengan lebih terperinci.
Karya seni demi kesedaran bersama
Di samping itu, insan berjiwa seni ini yang kini menuntut di Universiti Teknologi Brunei dalam Tahun 3 ini turut menyatakan bahawa karya yang dihasilkan itu sememangnya dihasratkan untuk membuka minda semua lapisan masyarakat di negara ini tentang kepentingan menyemai sikap bertanggungjawab serta sama-sama berganding bahu menjaga kebersihan diri dan keluarga di samping mengamalkan penjarakan sosial serta sentiasa mematuhi segala arahan pihak kerajaan dari semasa ke semasa.
“Dengan menceburi bidang seni lukis ini, saya dapat mencurahkan apa yang tersirat dalam minda dan jiwa dengan penuh kreativiti.
“Itulah kepuasan yang dapat saya kecapi setiap kali menghasilkan sesebuah karya,” tambahnya.
Beliau telah menyiapkan hasil karya yang dimenanginya itu dalam masa lebih kurang seminggu.
Galak lebih ramai penggiat seni lukis
Pada masa yang sama, Dayang Nur Khalisah Ahmad selaku pengarah Kaleidoscope Studio turut mengungkapkan bahawa pertandingan yang dianjurkan itu bertujuan untuk memupuk daya kreativiti pelbagai kumpulan umur dalam merakamkan detik unik serta pengalaman yang sedang dilalui ini sehingga mampu mewujudkan nilai-nilai positif untuk semua lapisan masyarakat secara umumnya.
“Pendedahan sebegini secara tidak langsung dapat membuktikan bukan sahaja kepada semua lapisan masyarakat tempatan bahkan juga dunia luar bahawa masyarakat di negara kita juga memiliki insan-insan yang berkemahiran dan mempunyai kreativiti tersendiri dalam menghasilkan karya-karya seni yang tidak kurang hebatnya dengan mereka di luar negara,” ujarnya semasa mengulas mengenai pertandingan yang telah dibiayai oleh Kedutaan Besar AS menerusi Program Small Grant US Embassy sebagai salah satu inisiatif untuk menyokong projek kebudayaan dan kesenian tempatan di negara ini.