Wednesday, July 3, 2024
24 C
Brunei

    -

    Makna tersirat di sebalik pantang larang Melayu

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Mengimbau kembali nostalgia orang tua-tua terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu, pastinya salah satu teguran atau peringatan yang sentiasa terukir di bibir-bibir mulut mereka ialah pantang larang.

    Kebanyakan mereka apabila menyaksikan tindak-tanduk anak-anak mahupun cucu-cicit yang kurang disenangi sering mengatakan ‘inda kuasa’ tanpa memberikan sebab dan alasan terang-terangan. Malah sehinggakan pada zaman itu, anak-anak atau cucu-cicit yang ditegur itu hanya akur dan mematuhi teguran tanpa kata-kata.

    Namun berbeza bagi anak-anak pada zaman sekarang, apabila ditegur mereka akan cepat atau pantas bertanya sebab-musabab mengapa ditegah melakukan sesuatu itu.

    Pantang larang itu bagaikan warisan budaya yang sukar dipisahkan dalam setiap tindakan yang dilakukan dalam kehidupan sehari-hari. Ia mempunyai unsur-unsur nilai murni dan pengajaran untuk disampaikan kepada golongan tertentu.

    MAKSUD TERSELINDUNG YANG BAIK

    Mungkin seiring kita menempuhi arus kemodenan ini, kebanyakan masyarakat Melayu beranggapan pantang larang merupakan sesuatu yang lapuk dan sudah tidak boleh dipakai lagi.

    Orang tua-tua kebiasaannya melarang makan secara bergelap untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak baik seperti ketulangan. – GAMBAR FREEPIK
    Bergambar bertiga mengikut kepercayaan orang tua-tua boleh membuatkan seseorang itu pendek umur namun hakikatnya larangan berkenaan hanya untuk menakut-nakutkan anak-anak mereka daripada berbuat demikian. – GAMBAR FREEPIK
    Pengajaran daripada pantang larang ‘bermain tapuk-tapukan di dalam rumah kelak ditapuk hantu kelindahau’ disebabkan ditakuti orang yang bersembunyi di tempat-tempat tersorok tidak dapat keluar atau lemas atau pun menyebabkan bilik yang kemas akan menjadi bersepah. – GAMBAR FREEPIK

    Namun hakikatnya, segala pantang larang yang diungkapkan itu pastinya memiliki maksud yang terselindung yang baik di sebaliknya.

    Terlalu banyak pantang larang orang tua-tua kita namun antara yang pernah kita dengar adalah kita dilarang ‘Makan dalam patang atau gelap ditakuti menyebabkan patang hati’.

    Orang tua-tua kebiasaannya melarang kanak-kanak makan dalam gelap adalah untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak baik seperti ketulangan.

    Begitu juga ungkapan larangan ‘duduk di atas bantal kelak ketulahan’, lazimnya ditujukan kepada golonan kanak-kanak. Hakikatnya bantal adalah suatu benda yang digunakan untuk meletakkan kepala ketika berbaring atau tidur.

    Oleh itu, sememangnya kurang elok jika bantal dijadikan tempat duduk.

    Daripada pantang larang ini dapatlah disimpulkan bahawa ia mengajar kita supaya bersopan santun.

    Selain itu, pantang larang ‘bercermin muka pada waktu malam kelak hilang seri muka’ ini kebiasaannya ditujukan kepada semua lapisan masyarakat terutamanya anak gadis.

    Orang tua-tua melarang berbuat demikian kerana dikhuatiri muka yang halus dan cantik akan dipenuhi dengan jerawat, lebih-lebih lagi pada waktu larut malam.

    Selain itu, teguran berkenaan juga memiliki pengajaran tertentu di mana kalau terlalu lama atau asyik merenung muka di hadapan cermin memang banyak kerja rumah akan tertinggal atau terbengkalai.

    Namun pantang larang ini merupakan kurafat semata-mata hanya sekadar untuk berkias-kias dalam menasihati.

    Begitu juga, salah satu pantang larang yang pasti pernah kita dengar suatu masa dahulu ketika berkumpul bersama sanak-saudara di kampung halaman adalah ‘bergambar bertiga kelak pendek umur’.

    Orang tua-tua tidak suka kepada nombor ganjil seperti angka tiga.

    Bergambar bertiga mengikut kepercayaan mereka boleh membuatkan seseorang itu akan pendek umur. Namun hakikatnya larangan berkenaan hanya untuk menakut-nakutkan anak-anak mereka daripada berbuat demikian.

    Apa yang perlu kita ketahui, kepercayaan bergambar bertiga dipercayai pendek umur tidak ada kaitan langsung dengan umur seseorang itu dan ia hanya merupakan kurafat semata-mata yang sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam.

    Selain itu, larangan ‘bermain tapuk-tapukan di dalam rumah kelak ditapuk hantu kelindahau’ yang biasanya ditujukan kepada kanak-kanak juga mempunyai maksud tersirat di mana orang tua-tua melarang perbuatan sedemikian kerana ditakuti orang yang bersembunyi di tempat-tempat tersorok tidak dapat keluar atau lemas ataupun menyebabkan bilik yang kemas menjadi bersepah.

    SEBAGAI PENDIDIKAN TIDAK FORMAL

    Sekiranya diamati, keindahan pantang larang generasi terdahulu itu sememangnya suatu pendidikan tidak formal terutamanya pendidikan di rumah berteraskan penerapan nilai-nilai kehidupan murni yang secara langsung mahu pun tidak langsung bertujuan membantu ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan-insan yang lebih berakhlak tinggi dalam setiap aspek kehidupan sehari-hari.

    Pantang larang berkenaan sebahagiannya mungkin bertentangan dengan akidah Islam dan kian beransur-ansur hilang dalam kalangan masyarakat Melayu sejajar dengan keutuhan nilai-nilai keislaman pada masa kini.

    Walau bagaimanapun, mana-mana pantang larang yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam masih bertahan.

    Namun antara faktor yang melihat pantang larang ini tidak begitu dipraktikkan dalam satu-satu keluarga mahupun masyarakat setempat berkemungkinan disebabkan situasi kesibukan kerja sehinggakan peluang untuk ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak semakin terhad.

    Tambahan pula, kebanyakan ibu bapa juga kurang pengetahuan mengenai pantang larang tersebut terutamanya mereka yang membesar di era serba moden ini.

    Begitu juga halnya, kini anak-anak lebih terdedah kepada pengaruh media massa yang kebanyakan masa lapang mereka dihabiskan menonton televisyen atau pun bertemankan telefon bimbit berbanding bersantai bersama orang tua-tua.

    Oleh yang demikian, jika kita selami pantang larang orang tua dulu-dulu memang memiliki nilai-nilai tersirat yang cukup baik untuk diamalkan dalam mendidik adab dalam anak-anak masing-masing.

    Maka tidak salah jika pantang larang ini diamalkan dalam kehidupan sehari-hari terutamanya golongan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka, asalkan ianya tidak bertentangan dengan agama Islam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir, tanah runtuh di India ragut 16 nyawa

    GUWAHATI, 2 JULAI – Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa dalam tempoh dua minggu lalu di...