Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maksimumkan kesempatan di bulan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Nikmat Ramadan itu hanya setahun sekali, dan tidak diketahui adakah akan dipertemukan lagi dengannya atau sebaliknya.

    Justeru, orang-orang beriman hendaklah memaksimumkan kesempatan berada di bulan suci Ramadan ini dengan sebaiknya. berlumba-lumba merebut ganjaran yang berlipat ganda dengan amalan wajib dan sunat, ibadah puasa yang menjanjikan balasan yang besar, keistimewaan menjadi ahli Al-Quran, dipilih Allah di kalangan mereka yang meraih satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, dan keampunan Allah luas di siang dan malamnya serta lain-lain fadilat dan keutamaan.

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh penceramah jemputan, Penolong Pensyarah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak semasa ceramah khas bertajuk Ramadan, Usah Pergi anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah), baru-baru ini.

    Seramai 180 orang pegawai dan kakitangan KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya termasuk PDI menghadiri Ceramah Khas Sempena Bulan Ramadan 1445H berkenaan yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI, Kampung Pulaie.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    Antara objektif acara berkenaan adalah bagi memupuk perasaan cinta dan menyemarakkan serta mensyukuri kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak, di samping melahirkan warga perkhidmatan awam yang peka dan bertanggungjawab terhadap bulan-bulan kebesaran Islam di Negara Brunei Darussalam.

    Dengan adanya program seumpamanya diharap akan dapat mencapai objektif dan sasaran yang dihasratkan, iaitu bagi memberi ilmu pengetahuan agar lebih bersemangat melaksanakan amal ibadah dengan lebih sempurna.

    Haji Ahmad Abdussalam bersama antara tetamu yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda