Sambungan dari minggu lepas
Walaupun memakai pakaian yang tidak menampakkan warna kulit tetapi tidak luas sehingga menyifatkan bentuk tubuh ketika sembahyang itu tidak membatalkan sembahyang, namun ianya adalah makruh dan meninggalkan yang makruh itu pula dijanjikan pahala.
iv. Sekiranya pakaian yang dinyatakan di para (i), (ii) dan (iii) di atas tidak dapat disempurnakan sebelum seorang perempuan itu melakukan sembahyang, maka hendaklah dia berusaha menutup pakaiannya itu dengan pakaian tebal di sebelah luar sehingga maksud tidak menampakkan warna aurat itu terlaksana.
Islam tidak menentukan pakaian khusus dipakai perempuan ketika mengerjakan sembahyang.
Yang ditentukan adalah had-had aurat yang wajib ditutup serta kaedah penutupan aurat secara sempurna sebagaimana yang dipandu oleh syara‘.
Perlu diambil perhatian, janganlah berpuas hati melakukan sembahyang dengan memakai tudung, berbaju lengan pendek dan bersarung tangan panjang menutup anggota tangan atau berseluar tidak lebar, hanya sampai setakat buku lali dan memakai stokin untuk menutup kaki kerana beranggapan pakaian sedemikian sudah memenuhi syarat menutup aurat.
Aurat perlu ditutup dengan sesempurnanya ketika sembahyang kerana yang dihadap itu adalah Pencipta kita dan setentunyalah kita ingin tampil dengan cara berpakaian yang terbaik dan sempurna di hadapanNya.
Aurat yang wajib ditutup dalam sembahyang itu pula adalah sama dengan aurat yang wajib ditutup di luar sembahyang ketika bersama mereka yang bukan mahram. Maka berpatutanlah bagi seorang perempuan itu apabila keluar rumah berpakaian dengan pakaian yang menutup aurat sebagaimana kehendak syara‘. Ini kerana selain dari ianya adalah satu tuntutan, berpakaian sebegini juga memudahkannya untuk melaksanakan sembahyang jika tiada bersamanya kain atau pakaian lain yang boleh menutup pakaiannya seperti telekung atau yang seumpamanya.