Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Sebanyak 50 beg sampah dengan berat keseluruhan 239.6 kilogram telah berjaya dikumpulkan oleh tutor dan pelajar-pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) semasa Projek Kebersihan Pantai di Pantai Tanjung Batu pada 19 Oktober lalu.
Projek yang dianjurkan oleh Jabatan Geografi dan Unit Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Maktab Duli meliputi Zon A di Tanjung Batu itu disertai oleh seramai 10 orang tutor dan 57 orang pelajar menengah 6 bawah dan kadet HSE.
Ia diketuai oleh Ketua Jabatan Geografi, Dayangku Hajah Renawati binti Pengiran Haji Dahari dan disertai oleh Ketua Unit HSE, Dayang Armacester binti Haji Arsad dan Timbalan Pengetua Akademik, Dr Muhd Zamri bin Haji Ismail.
Projek bermatlamat untuk mempromosikan kesejahteraan ahli dan kesepaduan sosial serta pada masa yang sama menggalakkan gaya hidup sihat dan kesedaran alam sekitar.
Di samping itu, ia juga menyokong inisiatif Sekolah Hijau yang melibatkan pelajar-pelajar dengan alam sekitar dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan.
