Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) melakar satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh usaha ke arah transformasi digital dan pembelajaran abad ke-21 dengan pelancaran bilik kelas pintar yang berlangsung di Bangunan Pentadbiran, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, hari ini.
Pelancaran bilik kelas pintar itu adalah bersempena Jubli Emas Maktab Duli.
Hadir untuk menyempurnakan pelancaran bilik kelas pintar berkenaan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan yang mewakili Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Turut hadir pada majlis itu ialah wakil-wakil dari pelbagai jabatan dan unit di bawah Kementerian Pendidikan, termasuk Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Sekolah-sekolah, Pusat Teknologi Pendidikan serta pejabat-pejabat kluster, di samping wakil dari BIBD sebagai rakan strategik dalam usaha pendigitalan pendidikan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad menyatakan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, khususnya Pusat Teknologi Pendidikan atas penganugerahan bilik kelas pintar berkenaan kepada Maktab Duli di mana ia merupakan satu inisiatif yang menjadi lambang inovasi dan kemajuan dalam bidang pengajaran serta pembelajaran.
Beliau menyatakan sejak mula digunakan pada awal 2025, bilik kelas pintar tersebut telah dimanfaatkan secara meluas oleh warga maktab dengan tempahan penggunaannya diurus berdasarkan sistem yang dahulu, didahulukan menerusi aplikasi mudah alih bagi memastikan penggunaan yang teratur dan adil.
Selain digunakan bagi sesi pembelajaran, bilik kelas pintar juga menjadi lokasi pelbagai sesi pembangunan profesional.
“Bilik kelas pintar tersebut memberi inspirasi dan kemudahan untuk para pendidik meneroka integrasi teknologi AI bagi memperkaya amalan pengajaran dan pembelajaran,” jelas Dayangku Hajah Nooramaliatifah.
Acara diteruskan dengan pelancaran rasmi bilik kelas pintar oleh Dr Eddy Fazlin, diikuti dengan demonstrasi penggunaan teknologi bilik kelas pintar serta lawatan ke ruang pembelajaran baharu berkenaan.




