Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maktab Duli mula sesi pengajian baharu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Seramai 509 orang pelajar pra-universiti memulakan pengajian mereka di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) bagi Tahun Akademik 2021/2022.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Maktab Duli PMAMB, di sini, program orientasi bagi pelajar-pelajar menengah 6 bawah bagi tahun akademik 2021/2022 bermula kelmarin hingga 27 Februari di mana program orientasi itu dihasratkan untuk membantu para pelajar yang memulakan pengajian lanjut mereka setelah meninggalkan pendidikan menengah.

    Ia juga dihasratkan untuk membantu para pelajar baharu untuk menyesuaikan diri memulakan pengajian di maktab berkenaan serta untuk memberikan pendedahan kepada mereka mengenai kehidupan akademik di maktab tingkatan enam.

    Pada hari pertama orientasi dengan ketibaan para pelajar baharu, mereka melalui prosedur keselamatan standard di dua kawasan iaitu Bangunan SIT dan dewan makan maktab berkenaan sebelum para pelajar dibawa untuk mendaftar ke kumpulan tutor masing-masing.

    Mereka kemudian bergerak ke dewan kuliah 11 dan 12 di mana Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Rahman dalam ucapannya, mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada para pelajar kerana berjaya untuk melanjutkan pengajian mereka di maktab berkenaan.

    Para pelajar juga diberikan penerangan mengenai struktur pentadbiran maktab dan juga ketua-ketua jabatan bagi mata pelajaran yang ditawarkan di maktab itu.

    Sebagai sebahagian daripada program orientasi, pelajar-pelajar berkenaan dibawa untuk melawat kampus kolej berkenaan dan diberikan taklimat mengenai unit serta bahagian yang terdapat di kolej serta dasar, sumber dan perkhidmatan yang ditawarkan di kolej berkenaan.

    Para pelajar mendaftar dengan kumpulan tutor masing-masing.– Gambar serahan Maktab Duli
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda