BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) hari ini mengadakan sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung di Pusat Pembelajaran dan Sokongan Pelajar (SLSC).
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Maktab Duli, Dayang Alya Iwanina binti Haji Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh wakil pelajar dari Majlis Pelajar Islam 2025/2026, diikuti persembahan khas daripada Biro Hal Ehwal Ugama dan Kelab Belia Islam.
Majlis turut diserikan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Pegawai Kemajuan Agama dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi. Dalam ceramahnya, beliau menyentuh tentang akhlak mulia dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW, di samping menyeru para pelajar agar mencontohi teladan Baginda dalam kehidupan seharian.
Majlis tersebut bertujuan untuk menyemai dan memperkukuh nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar berdasarkan akhlak Nabi Muhammad SAW yang perlu dicontohi, di samping memupuk kecintaan terhadap Baginda. Ia juga berfungsi untuk memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, meningkatkan kesedaran tentang perjuangan dan keperibadian Baginda serta memperdalam penghargaan terhadap kepimpinan Baginda sebagai teladan abadi untuk semua generasi.
Majlis turut menampilkan pertandingan kuiz diikuti dengan penyampaian hadiah dan cenderahati, sebelum diakhiri dengan bacaan doa penutup dan Surah Al-Asr.





