Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maktab Duli raikan pelajar cemerlang

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) hari ini mengadakan Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang sesi 2023-2024, bertempat di Auditorium Citra Gemilang.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepada pelajar yang diraikan ialah Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Dayang Hamidah binti Haji Daud.

    Seramai 376 orang pelajar telah menerima sijil bagi menandakan tamatnya pengajian Brunei-Cambridge GCE Peringkat A mereka, selain mengiktiraf pencapaian akademik pelajar.

    Terdahulu, Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad antara lain mengongsikan pencapaian pelajar dan cabaran yang dihadapi oleh mereka hingga mampu mencapai keputusan yang cemerlang.

    Beliau turut mengongsikan lima kategori hadiah cemerlang dalam akademik, di mana 29 pelajar telah mencapai kecemerlangan dengan memperoleh sekurang-kurangnya tiga gred A atau 360 mata tarif dalam peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat A tahun lalu.

    Dayang Hamidah menyampaikan hadiah dan sijil kepada salah seorang pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya tiga gred A. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara pelajar yang diraikan hadir bersama ibu bapa pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Manakala dalam kategori kedua iaitu Special Mention Award by Subjects in Brunei Cambridge GCE A Level Oct/Nov 2024 yang mana 24 orang pelajar telah berjaya memperoleh markah tertinggi dalam setiap mata pelajaran yang ditawarkan.

    Seterusnya bagi kategori ketiga iaitu Top Most Achievement Hostellite Award in Brunei Cambridge GCE A Level Oct/Nov 2024 pula, seorang pelajar asrama telah mencapai kecemerlangan dalam Peperiksaan BC-GCE Peringkat A yang lalu.

    Di samping itu, 17 pelajar berjaya memperoleh 360 mata tarif ke atas dan menerima anugerah dalam kategori Top Overall Award for Lower Sixth End of Year Examination in 2024 (Top Accumulated Tariff Points).

    Manakala, 26 orang pelajar yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam setiap mata pelajaran semasa peperiksaan akhir tahun tingkatan enam bawah pada tahun 2024 juga menerima hadiah dalam kategori Special Mention Award by Subjects AS Level L6th End of Year Examination in 2024.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua yang telah menyumbangkan bagi pencapaian cemerlang itu, terutama pensyarah-pensyarah Maktab Duli yang tidak jemu-jemu membimbing dan memberi tunjuk ajar yang berguna dan sememangnya berpengalaman dan berkelayakan serta komited untuk melaksanakan visi maktab berkenaan.

    Selain itu beliau mengongsikan bahawa Maktab Duli berbangga dengan kejayaan keputusan cemerlang yang telah diperoleh daripada penilaian Brunei Cambridge GCE Peringkat A 2024 iaitu pencapaian bagi tiga A Level ialah 77.66 peratus dan peratus itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.1 peratus dari tahun sebelumnya.

    Selain itu, pencapaian tersebut telah melebihi purata kebangsaan yang memperoleh 75.7 peratus.

    Manakala bagi pencapaian dua A Level ke atas pula, jelasnya, maktab telah memperoleh 91.95 peratus dan peratus itu menunjukkan peningkatan sebanyak 5.71 peratus dari tahun sebelumnya, di samping itu, pencapaian tersebut telah melebihi purata kebangsaan yang memperoleh 88 peratus.

    Sementara bagi pencapaian 13 A Level ke atas, Maktab Duli telah memperoleh 97.7 peratus dan peratus itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus dari tahun sebelumnya, tambahnya.

    Antara yang hadir di majlis itu termasuk tetamu khas, pensyarah dan ibu bapa bagi menyaksikan kejayaan anak masing-masing.

    Majlis tersebut bukan sahaja meraikan pencapaian cemerlang pelajar tetapi ia turut memperlihatkan komitmen berterusan Maktab Duli dalam membentuk individu yang berprestasi tinggi dan serba boleh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda