Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) mencatatkan pencapaian penting dalam memperkukuh usaha ke arah transformasi digital dan pembelajaran abad ke-21 dengan Pelancaran Bilik Smart Classroom yang berlangsung di SMART Classroom, Bangunan Pentadbiran, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, hari ini.
Pelancaran Bilik SMART Classroom itu adalah bersempena Jubli Emas Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Hadir untuk menyempurnakan pelancaran Smart Classroom berkenaan, Pemangku Pengarah Jabatan Sekolah-Sekolah, Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan yang mewakili Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Dalam ucapan alu-aluannya Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad menyatakan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, khususnya Pusat Teknologi Pendidikan atas penganugerahan Smart Classroom berkenaan kepada Maktab Duli di mana ia merupakan satu inisiatif yang menjadi lambang inovasi dan kemajuan dalam bidang pengajaran serta pembelajaran.
Beliau menyatakan bahawa sejak mula digunakan pada awal 2025, Smart Classroom telah dimanfaatkan secara meluas oleh warga maktab dengan tempahan penggunaannya diurus melalui sistem first come, first served, menerusi aplikasi mudah alih bagi memastikan penggunaan yang teratur dan adil.


Selain digunakan bagi sesi pembelajaran, tambahnya, Smart Classroom juga menjadi lokasi pelbagai sesi Pembangunan Profesional.
“Smart classroom ini memberi inspirasi dan kemudahan untuk para pendidik dalam meneroka integrasi teknologi AI bagi memperkayakan amalan pengajaran dan pembelajaran.” jelas Dayangku Hajah Nooramaliatifah lagi.
Majlis diteruskan dengan pelancaran rasmi Bilik SMART Classroom oleh Dr Eddy Fazlin dan diikuti dengan menyaksikan demonstrasi penggunaan teknologi SMART Classroom serta lawatan ke ruang pembelajaran baharu berkenaan.
Majlis itu melambangkan satu lagi pencapaian penting Maktab Duli dalam memperkukuh usaha ke arah transformasi digital dan pembelajaran abad ke-21, selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 dan semangat sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Maktab.
Turut hadir pada majlis berkenaan, wakil-wakil dari pelbagai jabatan dan unit di bawah Kementerian Pendidikan, termasuk Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Sekolah-Sekolah, Pusat Teknologi Pendidikan, serta Pejabat-Pejabat Kluster, di samping wakil daripada BIBD sebagai rakan strategik dalam usaha pendigitalan pendidikan.

