Sunday, November 24, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maktab Sabah terapkan konsep BMW, pastikan tandas sekolah kondusif

    KOTA KINABALU, 14 JAN – Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, di sini, menerapkan konsep BMW iaitu Bersih, Menarik dan Wangi, bagi memastikan tandas sekolah yang telah dibaik pulih sentiasa memberi persekitaran kondusif dan selesa kepada lebih 1,400 pelajarnya.

    Jubin berwarna cerah dengan pencahayaan lebih baik di tandas lelaki dan perempuan ditambah dengan hiasan bingkai gambar dan pokok hiasan menyerikan lagi keseluruhan ruangan, selain haruman potpourri mengisi pengudaraan yang amat baik di kedua-dua tandas berkenaan.

    Pelajar Tingkatan Lima, Hidayatul Hazwani Haidir berkata, penambahbaikan dan pengubahsuaian tandas sekolahnya itu banyak memberi keselesaan kepada pelajar memandangkan sebelum ini beberapa pam tandas dan pintu mengalami kerosakan, selain masalah pili air yang menyebabkan pengaliran air tidak lancar.

    Pemangku Pengetua SM Maktab Sabah Samsiah Almalek berkata kebersihan tandas sekolah adalah penting kerana ia mencerminkan imej serta keterampilan para pelajarnya.

    Dalam pada itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Zunaidah Zakarian berkata SM Maktab Sabah memanfaatkan peruntukan RM70,000 daripada kerajaan Persekutuan dengan memulakan kerja baik pulih tandas bermula pada September tahun lepas dan siap empat minggu kemudian.

    Guru SM Maktab Sabah Hui Ying Ying yang bertanggungjawab menyelaras aspek kebersihan sekolah pula berkata pihaknya menyediakan jadual pembersihan dan borang bagi merekodkan sebarang kerosakan tandas.

    Projek penyelenggaraan kecil melibatkan baik pulih tandas bagi 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta bermula pertengahan Julai tahun lepas selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kemudahan tandas bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini. – Bernama

    Keadaan ruang dalam tandas SM Maktab Sabah yang bersih selepas dinaik taraf melalui peruntukan khas kerajaan Persekutuan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda