BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif di kalangan para pelajar, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) telah mengadakan acara Larian ‘Excelsior’ dan Kejohanan Olahraga antara Rumah-rumah Maktab Sains kali ke-43 di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Berakas, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat acara yang melibatkan pelajar-pelajar Tahun 7 hingga Pra-U 2 itu ialah Pemangku Pengetua Maktab Sains, Hajah Susilawati binti DP Haji Muhammad.
Sebanyak empat buah rumah sukan yang terlibat dalam acara sukan kali ini iaitu Rumah Laksamana, Rumah Panglima, Rumah Pahlawan dan Rumah Hulubalang.
Juara keseluruhan kejohanan olahraga tersebut telah disandang oleh Rumah Pahlawan.
Adapun acara Larian ‘Excelsior’ tersebut diadakan bertujuan untuk mengutip perbelanjaan bagi pembiayaan program dan aktiviti akademik serta bukan akademik maktab berkenaan. Selain itu, sebanyak tiga peratus daripada hasil kutipan itu akan disumbangkan kepada Persatuan Learning Ladders Society Brunei.
Acara tahunan ini turut diadakan bertujuan untuk memupuk semangat persaingan yang mesra melalui aktiviti-aktiviti trek dan padang, selain mengenal pasti pelajar-pelajar yang mempunyai bakat sukan di maktab berkenaan.
