Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Dua buah Pasukan Bola Jaring Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) Bawah-15 dan Bawah-18 Tahun muncul juara Kejohanan Bola Jaring Sekolah-Sekolah Menengah Kerajaan, Swasta dan Maktab-Maktab bagi Kluster 3 tahun 2017, di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Pasukan B-15 MSPSBS berjaya menjuarai Kategori B apabila dengan mudah menumpaskan pasukan hos kejohanan, Sekolah Menengah Berakas dengan jaringan 24 – 5, dan tempat ketiga disandang oleh Pasukan Sekolah Seri Mulia Sarjana.
Manakala dalam Kategori C pula, bagi pelajar B-18, menyaksikan Pasukan MSPSBS juga menewaskan Pasukan Sekolah Menengah Berakas dengan kutipan mata 13 – 10, dan Sekolah Seri Mulia Sarjana juga terpaksa akur di tempat ketiga. Sebelum perlawanan akhir itu, Pasukan MSPSBS mara selepas menang besar 30 – 0 ke atas Pasukan Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar dalam Kategori B.
Manakala Pasukan MSPSBS dalam Kategori C pula menumpaskan pasukan dari Sekolah Menengah Lambak Kiri dengan jaringan 22 – 4.
Hadir menyaksikan kedua-dua perlawanan akhir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada barisan pemenang ialah Ketua Kluster 3, Dayang Siti Hawa binti Haji Mat Noor.

