Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maktab SOAS juara Bocce

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Pasukan dari Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) muncul juara Kejohanan Unified Bocce Sekolah-sekolah Menengah Senegara anjuran Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan setelah berjaya menewaskan Pasukan Sekolah Menengah Masin 4-1.

    Hadir menyaksikan final di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee.

    Kejohanan yang berlangsung selama dua hari tersebut menyaksikan 26 buah sekolah menengah kerajaan terlibat dalam kejohanan yang julung kalinya diadakan, di mana setiap sekolah diwakili empat orang pelajar yang terdiri daripada tiga pelajar bekeperluan khas dan seorang pelajar aliran biasa.

    Muncul naib juara ialah Pasukan Sekolah Menengah Masin manakala Pasukan Sekolah Menengah Rimba dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali selesai di tempat ketiga untuk meraih pingat gangsa. Sementara itu, Awang Redwan bin Abdul Rahman dari Sekolah Menengah Rimba pula telah dinobatkan sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan Bocce kali ini.

    Kejohanan anjuran Unit Pendidikan Khas dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) ini diadakan bagi memupuk minat dan menonjolkan bakat pelajar termasuk pelajar bekeperluan khas untuk menceburi sukan Bocce dan sukan lainnya secara umum.

    Turut hadir bagi menyaksikan final petang tadi ialah para ketua jabatan, pegawai dari Unit Pendidikan Khas dan Jabatan Pendidikan Kurikulum, para pengetua dan guru-guru dan beberapa perwakilan daripada SOBD dan Persatuan First Aid Support Team Brunei.

    Hajah Anis Faudzulani ketika menyampaikan piala kejuaraan kepada Pasukan Maktab SOAS.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda