Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) telah meraikan kejayaan para pelajar pada tahun lepas dengan Class of 2022 Academic Awards Graduation yang berlangsung di auditorium maktab tersebut, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada 84 orang pelajar ialah Pegawai Pelajaran Kanan, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP Centre), Kementerian Pendidikan, Awang Misli bin Moksin.
Turut hadir ialah Pemangku Pengetua Maktab SOAS, Awang Mohamed Santra bin Haji Bolhasan dan Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayang Krestina binti Haji Daud serta para ibu bapa dan penjaga pelajar yang diraikan.
Majlis menyaksikan penyampaian hadiah bagi empat kategori khusus iaitu Anugerah Akademik Terbaik, Anugerah Pencapaian Akademik Terbaik Tahun 11 dan Tahun 8, Sijil BTEC International Level 2 Extended in Information Technology, dan Sijil Pra-Vokasional.
Antara tujuan majlis adalah bagi memberikan dorongan dan motivasi kepada para pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan program-program yang berkaitan.
Dengan penganugerahan sedemikian, ia bukan sahaja untuk memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang, tetapi juga kepada mereka yang menunjukkan peningkatan atau kemajuan dalam pencapaian mereka.